KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengumumkan hasil royalti minyak yang perlu dibayar Petronas kepada kerajaan negeri sepanjang tempoh 2000 hingga Mac 2009 berjumlah RM15.847 bilion.
Terbaru, Ahmad berkata, kerajaan negeri menerima sebanyak RM650 juta kelmarin daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya diterima iaitu sebanyak RM1.394 juta sepanjang tempoh September 2008 hingga Mac 2009.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan lebihan wang tersebut melalui perundingan sambil menjelaskan perkembangan terkini melibatkan perjanjian penarikbalikan kes mahkamah masih belum mencapai kata putus.
Bagaimanapun, kerajaan negeri menjangka perkara tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan melalui satu perjanjian khusus yang membolehkan rakyat Terengganu menikmati hak royalti sewajarnya.
“Perjanjian penarikbalikan kes mahkamah belum lagi dibuat kerana ada masalah teknikal dan perundangan yang belum dapat dimuktamadkan dan dijangka dapat diselesaikan pada Mei nanti di mana satu perjanjian akan dibuat,” katanya.
Selain itu, dalam soalan lisan semalam, wakil Wakaf Mempelam (Pas), Mohd Abdul Wahid Endut turut mempertikai jumlah yang hanya diperoleh kerajaan Terengganu ketika ini hanya RM6.27 bilion daripada jumlah sebenar yang sepatutnya diperoleh.
Menjawab soalan tersebut, Ahmad berkata, kerajaan negeri sedang melakukan rundingan proses kedua dan akan meneruskan hingga proses ketiga untuk mencapai kata putus berhubung jumlah sepatutnya diterima setelah mengambil kira perbelanjaan yang digunakan oleh negeri Terengganu.
Ahmad turut meminta Wahid Endut bersabar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Pas itu turut mempersoalkan wang royalti yang belum diperoleh memandangkan kerajaan negeri telah menetapkan belanjawan dengan bajet RM1.799 bilion dalam sidang DUN tahun lepas.
“Minta bersabar. Tambahan-tambahan lain sedang dirundingkan. Tidak perlu khuatir untuk dibelanjakan,” katanya.
Leave a Reply