KUALA TERENGGANU 12 April (Utusan Malaysia) – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan meneruskan penganjuran Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir pada 24 dan 25 April ini.
Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah dalam kenyataan hari ini berkata, sesuai dengan namanya, selama pertandingan berlangsung, peserta akan memancing di atas rumah bot bagi membolehkan mereka menikmati keindahan alam semula jadi di Tasik Kenyir.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM150 meliputi kos penginapan, pengangkutan, makanan dan juga cenderahati.
Pada pusingan akhir, hadiah-hadiah berjumlah RM50,000 disediakan di mana juara keseluruhan akan menerima hadiah istimewa iaitu sebuah kereta Produa Viva 660.
Orang ramai dijemput menyertai pertandingan ini dan borang-borang penyertaan boleh didapati di Ibu Pejabat Ketengah di Bandar Al Muktafibillah Shah, Pejabat Ketengah Pengkalan Gawi dan Pusat Informasi Pelancongan (TIC) di Pengkalan Gawi serta Kuala Terengganu.
Borang juga boleh didapati melalui laman web Ketengah iaitu http://www.ketengah.gov.my dan tarikh tutup adalah pada 15 April 2009.
Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Zukaimi Ahmad di talian 019-9208400, Hassan Mansor (019-9348626), Wan Abdul Razak Ibrahim (013-9820054) dan Awang Mohamad (019-9348626).
Leave a Reply