KUALA TERENGGANU 9 April – Terengganu akan menerima penerbangan antarabangsa yang pertama apabila penerbangan langsung dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) bermula pada pertengahan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan Firefly itu akan bermula Jun ini.
”Ini merupakan salah satu langkah dalam menjadikan Terengganu gerbang pelancongan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat perkembangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, beliau juga akan ke China bagi mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan China Airlines untuk mengadakan penerbangan langsung dari negara itu ke Terengganu.
”Saya akan mengadakan perbincangan secara mendalam untuk membolehkan China Airlines mengadakan penerbangan secara langsung ke sini.
”Mungkin perjanjian yang akan dicapai ialah penerbangan langsung dari Guangzhou ke LTSM,” katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri akan menawarkan beberapa pakej untuk menarik syarikat penerbangan itu mengadakan penerbangan secara langsung ke Terengganu.
Menurutnya, antara tawaran yang akan diberikan ialah kerajaan negeri akan menanggung beberapa cukai yang dikenakan oleh lapangan terbang.
Katanya, usaha itu dilakukan kerana kedatangan pelancong dari China ke destinasi pelancongan di negeri ini merupakan yang paling tinggi berbanding pelancong asing lain.
Leave a Reply