
KAMPUNG PANJI (Sinar Harian)- Golongan belia perlu didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan supaya dapat mendekatkan diri dengan masyarakat setempat, dan secara tidak langsung dapat melahirkan bakal pemimpin yang mesra rakyat.
Penggerak Rakan Muda Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Faizal Harun berkata, Kelab Rakan Muda akan lebih mempergiatkan aktiviti kemasyarakatan dalam kalangan belia supaya dapat menarik minat mereka untuk berdamping dengan masyarakat setempat.
“Program kemasyarakatan akan lebih difokuskan, dan buat pengetahuan, kami telah memperkenalkan program sebegini sejak tahun lepas lagi.
“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan penglibatan belia dalam aktiviti sebegini dan diharapkan mereka dapat kekalkan semangat ini untuk selamanya,” katanya ketika menjayakan program Aktiviti Kemasyarakatan Kesukarelaan di Kampung Panji.
Menurutnya, pihaknya memfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan supaya golongan itu dapat melihat lebih dekat lagi kehidupan masyarakat setempat terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Panji merangkap Ketua Cawangan, Mohd Sahid Said berkata, semangat yang ditunjukkan belia dalam setiap aktiviti kemasyarakatan amat membanggakan dan secara tidak langsung masalah sosial dalam kalangan mereka juga semakin berkurang.
“Saya berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan belia di sini. Sejak program sebegini diaktifkan, saya dapati masalah sosial dalam kalangan mereka semakin kurang dan ini adalah satu perubahan positif yang perlu dikekalkan.
“Belia adalah golongan yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Jadi saya mengharapkan supaya dengan program kemasyarakatan begini, kita dapat melahirkan pemimpin yang berbakti dan bakal membela nasib rakyat,” katanya.
Program itu dianjurkan Kelab Rakan Muda Pering-kat Negeri Terengganu dan Pejabat Belia dan Sukan Kuala Terengganu dengan mendapat kerjasama Persa-tuan Belia Kampung Panji dan pelajar Sekolah Mene-ngah (SM) Padang Midin serta Kolej Multimedia Timur.
Seramai 100 peserta menyertai program itu dan antara aktiviti yang dijalankan adalah gotong-royong membersihkan kawasan kubur Kampung Panji, lawatan ke rumah penduduk seterusnya memberi sumbangan kepada 10 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal serta pesakit kronik.
Leave a Reply