![]() |
ahmad Said menerima replika kunci rumah daripada Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor (dua dari kanan) pada majlis penyerahan rasmi kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Taman Tasek, Kuala Besut di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
|
KUALA TERENGGANU 8 April (Utusan Malaysia) – Kerajaan Terengganu bersetuju memperuntukkan RM2.2 juta bagi membiayai kajian oleh Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) untuk mengkomersialkan ubi gadung yang tumbuh meliar di sekitar negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, peruntukan tersebut adalah bagi tempoh dua tahun yang meliputi tiga bidang iaitu pengeluaran bahan makanan, farmaseutikal dan racun serangga perosak.
Jelasnya, melalui kajian itu, UDM diminta mencari kaedah untuk mempercepatkan proses pengeluaran kandungan toksid dalam ubi gadung yang memabukkan sebelum boleh dijadikan bahan asas untuk makanan.
”Jika ikut kaedah tradisional proses membuang kandungan toksid dalam ubi gadung mengambil masa empat hari dan kita minta UDM buat kajian supaya proses ini dipercepatkan mungkin dalam tempoh 12 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri dan majlis penyerahan replika kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Taman Tasek, Kuala Besut oleh Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor di sini hari ini.
Menurut Ahmad, melalui kajian itu ubi gadung akan dijadikan tepung sebagai bahan asas untuk pembuatan kuih-muih tradisional selain mufin dan biskut.
Katanya, kuih-muih tradisional dari ubi gadung akan dijadikan makanan rasmi dalam semua majlis anjuran kerajaan negeri kelak.
”Ubi gadung banyak terdapat di negeri ini dengan satu perdu menghasilkan lima hingga 10 kilogram ubi. Ini boleh dijadikan pendapatan tambahan kepada penduduk,” katanya.
Dari segi farmaseutikal pula, jelasnya, ubi gadung dipercayai berpotensi merawat penyakit kusta, keputihan, kencing manis dan sebagai steroid serta dijadikan pil pencegah hamil.
Menurutnya, apabila bahan makanan serta ubat-ubatan yang dikeluarkan itu disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan, kerajaan negeri akan mengeluarkannya secara komersial untuk dipasarkan ke seluruh negara.
”Proses penjenamaan, pembungkusan dan pemasaran akan dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU),” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya, kerajaan negeri juga bersetuju memperuntukkan RM11.2 juta untuk pembinaan sebuah gelanggang futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, setiap gelanggang melibatkan kos RM350,000 dan akan dibina dalam tempoh terdekat ini.
Leave a Reply