HULU TERENGGANU 8 April (Utusan Malaysia) – Projek penanaman padi di Kampung Tok Lawit di sini menyasarkan keluaran hasil kira-kira 10 tan sehektar tahun ini.
Ketua Pusat Pembangunan Pertanian Kuala Ping, Mohd. Amran Awang berkata, jumlah tersebut berdasarkan kaedah penanaman padi secara tersusun yang mula dilaksanakan awal tahun ini.
Beliau berkata, ini termasuk penggunaan mesin ‘candung’ berharga RM400 yang diimport dari Vietnam untuk menabur benih.
”Mesin ini membolehkan proses penanaman dijalankan secara tersusun dan teratur bagi membolehkan penghasilan padi lebih berkualiti.
”Ia berbeza dengan penanaman menggunakan tangan yang menyebabkan benih padi berselerak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd. Amran berkata, sebahagian peserta kini menggunakan mesin candung itu manakala sebahagian lagi masih menggunakan kaedah tangan.
”Kita akan lihat bagaimana pelaksanaan kaedah ini dan ia dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada musim penanaman padi akan datang,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihak jabatan bersama agensi terlibat juga membantu para peserta projek bagi memastikan hasil tanaman mencapai mencapai sasarannya.
”Ini kerana hanya padi yang berkualiti tinggi sahaja akan dibeli oleh pengedar sebagai benih dan dijual di pasaran seluruh negara.
”Benih padi yang kurang menepati tahap kualiti yang ditetapkan akan dijual sebagai beras,” jelasnya.
Leave a Reply