
KUALA TERENGGANU – (Sinar harian) Sebanyak enam buah sekolah di daerah ini dikenal pasti sebagai sekolah bermasalah, khususnya melibatkan aspek sosial dan moral, kata Ketua Polis Negeri Terengganu, Senior Asisten Komisioner I, Datuk Shukri Dahlan.
:Bagaimanapun, Shukri yang enggan mendedahkan nama-nama sekolah tersebut hanya menjelaskan bahawa perkara itu perlu ditangani dengan segera.
:Menurut Shukri, berdasarkan perkembangan itu, pihak polis kini terpaksa memberi perhatian sewajarnya dengan memantau serta menganalisis masalah setiap sosial yang berlaku itu.
:“Kita akan memberi tumpuan lebih serius terhadap sekolah-sekolah yang tersenarai dan sebagai sekolah bermasalah dari segi sosial dalam kalangan remaja, kita akan menempatkan Pegawai Perhubungan di setiap sekolah terbabit bagi memudahkan urusan pemantauan dibuat.
:“Tindakan ini diambil kerana kita mendapati kegiatan jenayah bukan hanya membabitkan pelajar sekolah menengah, tetapi juga melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang kini amat membimbangkan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini, semalam.
:Menurut Shukri, sejak dua tahun lalu kegiatan itu terus meningkat dari masa ke semasa dan antara masalah paling ketara adalah lumba haram atau lebih dikenali ‘mat rempit’ dan dadah.
:Shukri berkata, peningkatan jenayah dalam kalangan remaja amat membimbangkan pihak sekolah, ibu bapa dan juga masyarakat sehingga memaksa golongan berkenaan diberikan pendedahan, penerangan jelas mengenai kesan dan akibatnya supaya kegiatan jenayah dapat diatasi segera.
:Sebelum ini, dalam perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kor Kader Polis ke-39 menyebut peningkatan jenayah dalam kalangan remaja jelas terbukti pada tahun 2007, iaitu sebanyak 1,836 kes telah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditangkap.
:Daripada jumlah itu seramai 3,241 pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah.
:Bagi tahun 2008 pula, sejumlah 2,218 kes jenayah membabitkan pelajar dilaporkan dengan 3,725 pelajar ditangkap atas pelbagai kesalahan.
:Seramai 3,629 pelajar adalah dalam lingkungan umur 13 hingga 18 tahun yang terlibat dengan kejadian bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri, pecah rumah dan lain-lain kesalahan jenayah.
Leave a Reply