![]() |
KASSIM Yusof menunjukkan ‘mesin cedung’ yang digunakan untuk penanaman padi benih jenis MR219 di Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM
|
HULU TERENGGANU 8 April (Utusan Malaysia) – Sudah sembilan tahun Kampung Tok Lawit di sini menjadi salah satu daripada tiga pusat projek penanaman padi benih jenis MR219 di negeri ini.
Penanaman padi yang dinamakan sebagai projek di luar jelapang padi itu diusahakan di kawasan lebih 40 hektar di sekitar kampung berkenaan.
Projek penanaman padi dua kali setahun itu sudah berjaya menghasilkan kira-kira lima tan padi benih sehektar setiap kali musim menuai.
Bagaimanapun, setiap kali musim menuai, 58 peserta projek berkenaan menghadapi masalah untuk menuai hasil tanaman masing-masing.
Ketua peserta projek tersebut, Kassim Yusof, 63, berkata, masalah itu berlaku kerana setiap peserta perlu menunggu giliran menggunakan sebuah jentera menuai padi.
”Ini kerana di Terengganu, hanya ada sebuah jentera untuk menuai padi dan ia adalah milik Persatuan Peladang Terengganu.
”Jadi, ia digunakan oleh semua pesawah di seluruh negeri ini. Kami terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan jentera itu,” ujarnya.
Beliau berkata, terdapat peserta terpaksa menunggu kira-kira lebih sebulan selepas hasil tanaman matang kerana giliran untuk menggunakan jentera itu masih belum tiba.
Menurutnya, keadaan itu boleh mengganggu kualiti padi yang dituai kerana untuk menjadikan ia sebagai benih, hanya padi berkualiti tinggi sahaja akan dipilih.
”Keadaan akan bertambah buruk apabila musim menuai,” ujarnya.
Beliau menambah, para peserta juga terpaksa menunggu giliran untuk membajak sawah masing-masing.
”Masalah ini juga berlaku kerana kami perlu menunggu giliran menggunakan jentera pembajak,” jelasnya.
Beliau yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 1.2 hektar memberitahu, projek penanaman padi tersebut amat menguntungkan para peserta.
”Saya memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 setiap kali musim menuai,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lawit, Suhaimi Ali turut mengemukakan permohonan supaya kerajaan negeri menaik taraf beberapa infrastruktur termasuk jalan raya di kawasan terbabit.
”Kami memerlukan jalan yang lebih lebar dan baik bagi memudahkan pengangkutan pengeluaran hasil tanaman ini,” ujarnya.
Leave a Reply