
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) –: Sebuah kilang terbiar di Kampung Banggol Air Lilih, di sini, membimbangkan penduduk sekitar apabila dikatakan menjadi tempat ‘persinggahan’ penagih dadah yang mahu melepaskan gian sejak tiga tahun lalu.
:Selain keadaan luaran yang menyeramkan penduduk setempat, kegiatan penagihan dadah di kawasan terbabit turut dikaitkan dengan kes pecah rumah dan kecurian yang kerap berlaku di kawasan taman perumahan berdekatan.
:Salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohd Marzuki Ahmad, 45, mendakwa, beberapa kejadian kecurian dan pecah rumah pernah berlaku di kawasan tempat tinggalnya.
:“Kejadian berlaku tahun lepas apabila pencuri berjaya memecah masuk rumah jiran saya. Walaupun risau dengan keadaan itu, namun kami terpaksa menjalani kehidupan seperti biasa selagi kilang berkenaan masih dibiarkan begitu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kegiatan penagihan dadah didapati berlaku sehingga kini ketika waktu petang sehingga malam.
:Dia yang pernah terserempak turut memberitahu bahawa penagih dadah terlibat bukan sahaja membabitkan remaja, namun ada antara mereka dianggarkan berumur 30 tahun ke atas.
:Mohd Marzuki berkata, kegiatan penagihan di kawasan terbabit bagaimanapun jarang diperkatakan penduduk setempat sejak akhir-akhir ini, namun percaya kegiatan itu masih diteruskan individu tidak bertanggungjawab sehingga kini.
:“Kami juga mendengar kilang terbabit akan dijadikan pusat beli-belah, tetapi belum tahu sejauh mana kebenarannya. Apa yang penting, bangunan itu tidak seharusnya dibiarkan kosong begitu,” katanya.
Leave a Reply