![]() AHMAD cuba membuat laksa di Kampung Maras, Batu Rakit. |
Program sehari di DUN Batu Rakit berjaya tambat hati rakyat
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Walaupun seorang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sedikit pun tidak kekok memanjat bumbung rumah untuk menukar atap yang bocor, mengayuh basikal bertemu penduduk kampung, malah berganding bahu bersama penduduk membersihkan kawasan persekitaran.
Sikap mesra, ramah, ringan tulang dan ‘jenaka’ pemimpin nombor satu negeri itu yang jelas terlihat sepanjang Program Sehari Bersama Menteri Besar bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit baru-baru ini, ternyata sangat disenangi rakyat setempat.
Bagi Ahmad, mungkin latar belakang keluarganya yang pernah hidup susah satu masa dulu memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi pemimpin yang dekat dengan rakyat, malah mudah memahami masalah dihadapi penduduk setempat yang tidak putus-putus menghampirinya mengadu seribu satu hal pada hari itu.
Program yang diatur bermula seawal jam 8 pagi. Di satu kawasan lapang di Maras, Batu Rakit kelihatan ribuan penduduk daripada pelbagai lapisan usia sudah berkumpul untuk melihat dari dekat wajah pemimpin kesayangan mereka.
Ketibaan Menteri Besar bersama isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat yang diiringi golongan pemuda menaiki motosikal besar mengundang perhatian penduduk setempat yang menyambut penuh mesra kehadiran tetamu istimewa itu.
Beliau kemudian memulakan programnya pada pagi itu dengan bergotong-royong dan berganding bahu bersama penduduk Kampung Maras dan Wakaf Catur untuk menggantikan atap rumah 14 penduduk yang rosak, diikuti majlis penyerahan geran tanah kepada 56 penduduk tempatan.
Ketika berehat sebentar untuk minum pagi, penduduk tempatan dilihat tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan tetamu istimewa itu. Malah, ada yang bijak mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan bersama untuk diabadikan.
Bagi penduduk, Jamilah Mahmood, 45, kunjungan Menteri Besar itu dianggap sangat istimewa dan membuktikan keprihatinan pemimpin negeri itu yang sanggup turun padang dan menghabiskan masa bersama penduduk setempat untuk mendekati masyarakat di segenap kawasan.
“Makcik kagum melihat Menteri Besar yang tidak kekok langsung bergaul mesra dengan penduduk di sini walaupun antara kami jurangnya terlalu jauh. Maklumlah, beliau seorang pemimpin dan kami hanya orang kampung. Bagaimanapun, sikapnya yang mesra, merendah diri dan kelakar membuatkan beliau sangat disenangi,” katanya.
Peniaga, Hamzah Osman, 52, berkata, keluarganya seronok dapat membabitkan diri dalam acara yang disusun sepanjang hari itu, malah, apa yang lebih menggembirakan baginya ialah program itu bukan saja dapat mempertemukan rakyat setempat dengan Menteri Besar, malah mengeratkan silaturahim sesama penduduk.
Seterusnya, pada jam 11 pagi, program diteruskan dengan Ahmad merasmikan Pasar Maras dan menyampaikan geran tanah tapak rumah dan pertanian kepada 79 penerima.
Selesai majlis berkenaan, Menteri Besar kemudian menunaikan solat Zuhur di masjid Kampung Bukit Wan dan makan tengah hari, hidangan gulai kawah yang dimasak secara gotong-royong di Padang Bola Kampung Gong Lingai.
Sejurus itu, beliau turut menunjukkan kebolehan menanam kelapa sawit di bawah program meningkatkan pendapatan rakyat di Kampung Lingai dan membuat penyerahan 1,280 anak kelapa sawit kepada 64 peserta.
Program seharian yang pertama kali diadakan yang membabitkan lebih 5,000 penduduk setempat itu turut menyediakan pelbagai acara termasuk pertandingan sukaneka, masakan tradisional, gubahan sirih, junjung, demonstrasi memproses laksa secara tradisi.
Leave a Reply