Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 31st, 2009

Penemuan Batu Bersurat

KUALA TERENGGANU 30 Mac (Utusan Malaysia) – Penemuan Batu Bersurat pada 1887 di kawasan Padang Tara di tepi Sungai Tara, Kampung Buluh, Kuala Berang membuktikan Terengganu adalah sebuah negeri terawal di Malaysia menerima Islam berbanding Melaka dan Kedah.

Malah batu itu merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan pengisytiharan agama Islam sebagai agama rasmi dan undang-undang Islam.

Kemudian pada 1902, batu itu dijumpai pula oleh Saiyed Husin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buluh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut.

Bagaimanapun, Saiyed Husin meminta Penghulu Ali ketika itu dan orang kampung membawa batu bersurat tersebut untuk dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin 111 dan kemudiannya diletakkan di atas Bukit Puteri.

Tulisan bertarikh 702 Hijrah dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi itu menjelaskan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan palsu serta dengan hukum mengikut taraf seseorang.

Pada masa ini Batu Bersurat tersebut dipamerkan di muzium negeri untuk membolehkan generasi hari ini melihat dengan lebih dekat mengenai sejarah batu tersebut.

Selain itu, kerajaan negeri turut mewujudkan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang tempat penemuan batu tersebut sebagai tempat kajian dan kunjungan penduduk di negeri ini khasnya dan pelancongan amnya.

Memorial yang direka bentuk empat persegi sama seluas 11,400 x 11,400 sentimeter (sm) dan bertingkat tiga belas (13) termasuk replika Batu Bersurat yang melambangkan Rukun Iman dan jumlah daerah di Negeri Terengganu.

Bagi mengimbau sejarah penemuan batu tersebut, muzium negeri menganjurkan Seminar Batu Bersurat selama dua hari baru-baru ini dengan menghimpunkan seramai 150 peserta yang mewakili jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar.

Ketika berucap pada perasmian itu, Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah mahu sebuah Pusat Penyelidikan Jawi diwujudkan di Memorial Batu Bersurat, Kuala Berang sebagai pusat penyelidikan jawi yang terunggul di negara ini.

Katanya, pemilihan di Kuala Berang itu wajar kerana daerah itu merupakan tapak penting kerana ia menjadi tempat penemuan Batu Bersurat yang membuktikan tentang pengisytiharan Islam.

”Pada masa ini kerajaan negeri telah mewujudkan Memorial Batu Bersurat di situ sebagai tempat kajian dan kunjungan pelawat dari dalam dan luar untuk melihat Replika Batu Bersurat yang ditemui pada 1887,” katanya.

Menurut beliau, pada masa ini kertas cadangan mengenai pembinaan Pusat Penyelidikan jawi itu telah siap dan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan.

”Dengan adanya Pusat Penyelidikan Jawi itu, ia akan menjadi tumpuan kepada para penyelidik atau pengunjung untuk mengkaji atau membuat rujukan mengenai sejarah tulisan jawi dan kedatangan Islam di negeri ini,” katanya.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan dalam seminar yang julung kali diadakan anjuran muzium negeri.

Ia bertujuan untuk mengkaji dan menyelidik usul batu yang digunakan dan mengenal pasti pengaruh tulisan yang digunakan pada ketika itu.

Antara pembentang ialah Drs. Supian Sabtu dari Jabatan Pengajian Sejarah Universiti Malaya dengan tajuk Kepentingan Batu Bersurat Dalam Konteks Arkeologi, Izziah Suraiani Arshad dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (Batu Bersurat Terengganu: Bacaan, Tafsiran dan Ulasan Isi Kandungan).

Read Full Post »

Kempen dua minggu bagi bayaran tertunggak

KUALA TERENGGANU (Berita Harian) : Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menawarkan potongan RM30 bagi setiap kompaun trafik kepada pengguna yang mempunyai saman trafik tertunggak sempena Minggu Pengurangan Bayaran Kompaun Trafik MBKT bermula 15 hingga 30 April ini.

Melalui kempen itu, setiap pengguna yang mempunyai kompaun tertunggak yang sebelum ini dikenakan RM40 bagi setiap kompaun hanya perlu membayar RM10.

Datuk Bandar, Datuk Mat Razali Kassim, berkata potongan istimewa itu diberikan berikutan MBKT mempunyai kira-kira 200,000 kompaun trafik tertunggak yang berjumlah kira-kira RM8 juta bermula 2003.

“Kempen dua minggu ini bertujuan memberikan peluang kepada pengguna yang mempunyai kompaun tertunggak untuk menjelaskan kompaun terutama bagi kesalahan meletakkan kenderaan di petak bermeter tanpa membuat bayaran, selain kesalahan menghalang laluan dan meletak kenderaan di petak tidak dibenarkan.

“Selepas tamat kempen dua minggu, pengguna yang dikenakan kompaun perlu membayar jumlah penuh iaitu RM40 dan tindakan mengunci roda kenderaan yang mempunyai tunggakan akan dilaksanakan selepas itu,” kata selepas Majlis Bertemu Pelanggan MBKT di Menara Permint di sini, semalam.

Katanya, ada antara pengguna dan pemilik kenderaan yang mempunyai sehingga 60 saman dan tidak pernah membayarnya sejak sekian lama.

Beliau berkata, tindakan mengunci tayar kenderaan yang gagal menjelaskan kompaun sudah dilaksanakan sebelum ini, bagaimanapun tahun ini penguatkuasaannya akan dilaksanakan secara agresif bagi memastikan pengguna yang mempunyai saman tertunggak dapat menjelaskan saman dengan segera.

Oleh Shaarani Ismail
shaarani@bharian.com.my

Read Full Post »


NURUL Fatimah yang cedera parah di kepala dan kaki kerana terbabit nahas ketika mengejar peragut dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Tindakan nekad seorang wanita mengejar peragut yang melarikan beg tangannya dengan menunggang motosikal melawan arus trafik, membawa padah apabila mangsa koma selepas berlanggar dengan dua kereta di Jalan Tengku Mizan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.50 petang kelmarin ketika Nurul Fatimah Ali, 19, yang bekerja dengan sebuah syarikat pengurup wang, dalam perjalanan pulang dari pusat bandar ke rumahnya di Seberang Takir.

“Sebaik tiba di Jambatan Sultan Mahmud, seorang penunggang motosikal menghampiri mangsa dari belakang dan meragut begnya yang diletakkan di bakul motosikal sebelum melarikan diri ke arah pusat bandar dengan menunggang melawan arus trafik.

“Nurul Fatimah turut berpatah balik dan mengejar peragut itu, tetapi motosikalnya bergesel dengan sebuah Proton Savvy sebelum bertembung dengan Proton Iswara di Jalan Sultan Mizan berhadapan sebuah stesen minyak,” katanya.

Mangsa yang cedera parah di kepala dan kaki, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan trafik sepanjang tiga kilometer menuju ke Jambatan Sultan Mahmud.

Zamri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek masih diburu berdasarkan maklumat yang diberi saksi kejadian berkenaan.

Oleh Hamid Salleh
bhnews@bharian.com.my

***********************************************

petikan Harian Metro:

Gadis berani mati

Oleh Hadzlan Hassan dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Biarpun tindakannya cukup berbahaya, seorang gadis sanggup menunggang motosikal melawan arus untuk mengejar motosikal dinaiki dua lelaki yang meragut beg tangannya di bawah Jambatan Sultan Mahmud, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Nurul Fatimah Ali, 19, yang bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat peminjam wang berlesen di Jalan Sultan Ismail, diragut beg tangannya ketika dalam perjalanan pulang ke Pekan Batu 6 dari pejabatnya.

Berikutan itu, dia nekad mengejar peragut terbabit walaupun terpaksa menunggang melawan arus ke arah pusat bandar raya.

Motosikalnya terlanggar cermin sisi sebuah Proton Savvy sebelum hilang kawalan lalu merempuh pula sebuah Proton Iswara di belakang.

Ini menyebabkan mangsa yang cedera di kepala, badan dan tangan kanan dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana koma.

Ketika cuba mengejar motosikal peragut, Nurul Fatimah dibantu dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebaik melihat kejadian itu.

Saksi, Saifulnizan Ramazan, 23, berkata dia melihat seorang gadis memecut laju mengejar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dengan melawan arus di bawah Jambatan Sultan Mahmud.

Katanya, jalan itu sepatutnya menghala Pekan Batu 6 dari pusat bandar raya.

“Kedua-dua motosikal itu melawan arus menghala ke Kuala Terengganu dari Batu 6. Mangsa membunyikan hon berkali-kali dan menjerit meminta pertolongan menyebabkan saya dan seorang rakan yang menaiki sebuah motosikal segera membantu.

“Kami mengekori dari belakang sebelum melihat motosikal mangsa bertembung sebuah kereta tapi kami terus mengejar penjenayah terbabit selepas melihat orang ramai membantu mangsa,” katanya yang bekerja di bengkel berhampiran.

Menurutnya, dia cuba mencari motosikal yang dikejar gadis itu hingga ke Bukit Besar, tetapi gagal menemui peragut terbabit.

“Motosikal itu jenis Honda EX5 Dream merah hati dengan seorang daripada penjenayah itu memakai baju berbelang, manakala rakannya yang menunggang gagal dicam.

“Saya percaya gadis itu diragut berhampiran bekas pondok tol kerana kejadian menimpa mangsa bukan pertama kali berlaku di kawasan itu, sebaliknya kedua dalam tempoh dua minggu menyebabkan saya geram dengan peragut,” katanya.

Abang mangsa, Mokhtar Ali, 31 pula berkata Nurul Fatimah baru enam bulan bekerja di syarikat itu.

Ketika kejadian, dia berkata, adiknya mungkin baru pulang bekerja dan membawa barangan berharga menyebabkan dia sanggup menggadai nyawa mengejar peragut berkenaan.

Bagaimanapun, seorang kakitangan tempat mangsa bekerja memberitahu Harian Metro, mangsa mungkin membawa barangan penting kerana dia ada meluahkan hasrat untuk melanjutkan pengajian di Kolej Bestari.

Namun, setakat ini, polis belum menerima laporan berhubung kejadian ragut itu menyebabkan kes berkenaan diklasifikasi sebagai kemalangan biasa walaupun ada saksi melihat dan mengejar penjenayah terbabit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Superintendan Nor Azmi Isa, berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan kejadian kemalangan itu membabitkan kesalahan trafik, bukan jenayah ragut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu segera memberikan kerjasama kepada polis dengan menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Laporan awal yang diterima menunjukkan mangsa mengekori sebuah motosikal lain secara melawan arus ke Kuala Terengganu sebelum melanggar cermin sisi sebuah Proton Savvy.

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu merempuh pula sebuah Proton Iswara di belakang.

“Mangsa cedera parah di kepala selain cedera di tangan kanan dan masih belum sedarkan diri bagi membolehkan polis mengambil keterangannya,” katanya.

Keadaan wanita itu dilaporkan stabil, tetapi masih belum sedarkan diri.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU: A clerk who was believed to be chasing two snatch thieves crashed into two cars in an accident which has left her in a coma. Nurul Fatimah Ali is in serious condition.
Nurul Fatimah Ali is in serious condition.

Nurul Fatimah Ali, 19, from Kampung Pulau Ketam, was seen riding her bike against the flow of traffic on the Sultan Mahmud bridge when she suffered the horrific crash which has left her with head injuries and a broken arm.

Witnesses told police her motorcycle grazed a Proton Savvy before it skidded and crashed head-on into a Proton Iswara.

The impact threw her off her machine. She was rushed to Sultanah Nur Zahirah Hospital where she remains in serious but stable condition in the intensive care unit.

State Public Order and Traffic acting chief Deputy Superintendent Nor Azmi Isa said police are looking for witnesses to assist in investigations.
Car drivers Mohd Zulkarnain Omar, 27, from Kampung Gelam, Mengabang Telipot, and Wan Sumah Wan Ngah, 52, from Kuala Terengganu, escaped unhurt.

Nor Azmi said police were now looking into the possibility that Nurul Fatimah was chasing two snatch thieves who had earlier grabbed her handbag.

She had also sought the help of another motorcyclist to go after the snatch thieves.

Nor Azmi urged those with information on the case to contact the nearest police station immediately.

Read Full Post »

PENGUNJUNG tertarik melihat pameran sempena Seminar Batu Bersurat di Muzim Negeri Kuala Terengganu baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 30 Mac (Utusan Malaysia) – Pelbagai pihak di negeri ini menyambut baik usaha muzium negeri menganjurkan seminar Batu Bersurat kerana ia penting dalam usaha mengimbau kembali artifak bersejarah yang tiada tolak tandingannya.

Mereka menyifatkan usaha murni yang dilakukan oleh muzium negeri dalam mengkaji dan menyelidik asal usul Batu Bersurat itu amat wajar dan bertepatan.

Langkah itu, katanya, wajar kerana masyarakat terutama golongan muda kurang mengambil berat dan menghayati serta memahami sejarah.

Seorang pengkaji sejarah, Abdullah Datuk Mohd. Salleh, 66, memberitahu, langkah itu dapat mengimbas kembali sejarah terutama mengenai Batu Bersurat yang di temui di Kampung Buluh, Kuala Berang pada 1887.

Katanya, golongan muda hari ini wajar mempelajari dan mengkajinya untuk mengetahui secara mendalam sejarah kedatangan Islam di negeri ini dan tulisan jawi yang bermula di Kuala Berang.

” Saya juga berharap seminar seumpama ini dapat diadakan dari masa ke semasa bagi membolehkan pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dilakukan melalui pelbagai sudut,” katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd. Rafi Kori, 30, juga berasa amat bertuah dapat mengikuti seminar yang dianjurkan oleh muzium negeri.

Katanya, melalui seminar ini banyak perkara dapat dipelajari terutama mengenai Batu Bersurat dari pelbagai aspek terutama mengenai kedatangan Islam dan perkembangan tulisan jawi pada ketika itu dan berkembang sehingga hari ini.

”Sebagai generasi muda, saya agak kurang mengetahui mengenai sejarah sendiri dan melalui seminar seumpama ini dapat memberi peluang kepada saya untuk mengkaji dengan lebih mendalam,” kata beliau.

Bagi Fellow Penyelidikan Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Thurraiyen Nadzrah Mohd. Ghazali, 59, usaha yang dilakukan oleh muzium negeri perlu disokong semua pihak.

Ini kerana, katanya, seminar tersebut sudah tentu dapat menyemarakkan warisan dan sejarah terutama mengenai tulisan jawi yang dilakar pada Batu Bersurat sejak zaman lampau.

” Masyarakat sekarang kurang berminat kepada warisan dan sejarah. Oleh itu, pendidikan dan pengembangan serius untuk memastikan golongan terbabit menyelami sejarah sendiri perlu ditekankan terutama mengenai kedatangan Islam di Terengganu dan bermulanya tulisan jawi,” katanya.

Read Full Post »