KUALA TERENGGANU 29 Mac (Bernama) – Jumlah saman tertunggak tempat letak kereta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini mencecah RM8 juta dengan 200,000 saman yang dikeluarkan masih belum dibayar.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Mat Razali Kassim berkata, berikutan itu pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan menyita atau mengunci tayar kenderaan yang didapati tidak menjelaskan kompaun selepas MBKT mengadakan minggu pembayaran kompaun dari 15 hingga 30 April.
“Dalam tempoh minggu pembayaran kompaun, kami akan kurangkan setiap saman dari RM40 kepada RM10. Selepas 30 April, mana-mana kenderaan yang masih tidak menjelaskan tunggakan mereka, akan disita atau dikunci tayar, dan akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Katanya, sepanjang minggu membayar kompaun itu, pihaknya turut menyediakan kaunter yang membolehkan pemilik kenderaan membuat semakan.
Mat Razali berkata, MBKT sedang membina jalan baru yang melingkari Kampung China sepanjang kira-kira 0.8 kilometer dengan menelan belanja sebanyak RM60 juta.
Beliau berkata, jalan sehala yang dibina bermula dari Hotel Seri Malaysia melalui Pulau Warisan hingga ke Pasar Besar Kedai Payang itu, apabila siap dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.
– BERNAMA
Leave a Reply