Setiausaha Kehormat RROA, Yap Chuan Bin, berkata persatuan itu merayu kerjasama semua pihak untuk membanteras aktiviti berkenaan yang memberi kesan dan menjejaskan terumbu karang yang menjadi tarikan utama pelancong untuk bercuti ke pulau di negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk setempat, pengusaha resort dan pelancong yang peka dengan kesan kegiatan haram yang semakin berleluasa itu kepada alam sekitar.
“Lebih menyedihkan ada pengusaha resort sendiri yang membenarkan pelancong menjalankan aktiviti itu. Jika aktiviti ini berterusan dan pihak terbabit tidak mengambil tindakan, tidak mustahil pelancong tidak lagi datang ke pulau kerana daya tarikannya sudah musnah.
“Kami berharap kerajaan negeri dapat mengambil langkah segera seperti mengedarkan risalah mengenai kesan aktiviti ini terhadap alam sekitar khususnya hidupan laut dan terumbu karang.
“Ia ibarat satu pusingan. Apabila terumbu karang musnah, jumlah ikan akan berkurangan kerana ia memerlukan tempat perlindungan iaitu terumbu karang untuk bernafas terutama pada musim monsun,” katanya ketika dihubungi.
Yap berkata, individu yang ditahan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan lembing atau benda tajam boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 44 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000.
Beliau berkata, usaha memelihara hidupan laut dan menangani aktiviti itu perlu disegerakan jika kerajaan negeri tidak mahu ia memberi kesan kepada sektor pelancongan pada jangka masa panjang.
Leave a Reply