Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 24th, 2009

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan negeri sudah melaksanakan pelbagai program dalam merealisasikan usaha mewujudkan generasi Ulul Albab bermula di peringkat awal sekolah seperti penubuhan Tadika Hadhari serta mewujudkan Sekolah Imtiaz yang menekankan penguasaan sains dan teknologi tanpa meminggirkan pengajaran al-Quran.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata sejak mengambil alih pemerintahan negeri daripada pembangkang, bekas Menteri Besar yang lalu, Datuk Seri Idris Jusoh, sudah melaksanakan pelbagai program dalam mewujudkan generasi bercirikan ensiklopedik, ijtihadik dan Quranik dalam melahirkan masyarakat Islam berdaya maju, mampu bersaing serta mempunyai pemikiran glokal.

“Kesedaran sudah diwujudkan bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak dengan menubuhkan Tadika Hadhari, memastikan kanak-kanak memahami dan mengetahui isi kandungan al-Quran serta menubuhkan Sekolah Imtiaz.

“Ciri paling utama dan paling penting adalah mewujudkan masyarakat Islam yang memahami isi kandungan al-Quran serta dapat menghayatinya dalam kehidupan mereka seharian,” katanya selepas merasmikan Seminar Ulul Albab dan Astronomi Islam anjuran bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kerajaan Negeri dan Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Dr Abdul Majid Mohd Isa.

Ahmad berkata, walaupun program Ulul Albab sudah dimulakan sejak 2004, kerajaan akan melaksanakan pelbagai program berkaitan bagi memastikan ia dapat dicapai.

“Ia bukan usaha yang mudah sebaliknya sangat memerlukan pengorbanan, penghayatan serta komitmen bagi memastikan ia dapat direalisasikan.

“Asas sebenarnya sudah ada dan sudah mula dibangunkan, yang paling penting kini adalah memastikan ia dapat terus berkembang dan disuburkan lagi dengan pengisian supaya ia dapat terus membangun,” katanya.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, seminar yang dilaksanakan itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial UMT untuk memasyarakatkan UMT dengan komuniti sekitar baik melalui sektor awam, pendidikan mahupun pengurusan.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 23 Mac (Utusan Malaysia) – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mahu generasi muda Terengganu mendalami maksud dan makna ayat-ayat suci al-Quran bagi mencipta kejayaan terbaru yang melebihi ciptaan bangsa asing.

Ahmad berkata, kitab suci itu mempunyai pelbagai petunjuk untuk menjadi inspirasi dalam penghasilan kejayaan dan ciptaan baru oleh golongan muda.

Menurut beliau, bangsa asing termasuk Yahudi sebelum ini mengkaji al-Quran dan menggunakan hasil kajian itu untuk menghasilkan pelbagai ciptaan seperti kapal terbang.

Katanya, sebagai contoh, sejarah tentera Abrahah menyerang Kaabah dan dipatahkan dengan serangan burung Ababil.

”Jika kita mengkaji secara mendalam sejarah ini, sesebuah negara itu akan menjadi kuat apabila ia memiliki tentera udara yang kuat. Dengan itu, terciptalah pesawat-pesawat dan kapal terbang.

”Inilah yang kita cuba terapkan dalam pelbagai program bagi membentuk generasi Ulul Albab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Ulul Albab: Sains dan Astronomi Islam anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat dan Timbalan Naib Canselor (HEP), UMT, Prof. Dr. Abdul Majid Mohd. Isa.

Ahmad berkata, kerajaan negeri menjangka generasi Ulul Albab akan berjaya dilahirkan dalam tempoh 20 tahun lagi.

”Ketika ini, pelbagai pendekatan pendidikan telah dimulakan dengan pelaksanaan bermula dari peringkat tadika sehingga ke peringkat sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata, UMT turut membantu dalam melakukan beberapa program penerangan dan pendidikan kepada komuniti di sekitar institusi pengajian tinggi itu sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosialnya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 23 Mac (Utusan Malaysia) – Kesemua perpustakaan awam di seluruh negeri akan dinaik taraf dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan baru bagi menarik lebih ramai orang terutama golongan muda membaca buku di perpustakaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, keadaan di perpustakaan di negeri ini agak ketinggalan dan perlu diadakan perubahan dalam usaha meningkatkan minat membaca.

Menurut beliau, antara perkhidmatan yang disediakan ialah menyediakan persekitaran yang boleh merangsang golongan muda untuk berada di perpustakaan dan membaca.

Katanya, antara perkhidmatan yang akan dilaksanakan ialah mengadakan satu sudut perpustakaan yang membenarkan pengguna untuk minum dan makan makanan ringan tetapi ia dijual di kawasan itu sahaja.

”Kemudahan yang disediakan juga akan memenuhi cita rasa golongan muda sekarang iaitu mereka ingin membaca buku dengan iringan muzik, lagu dan sebagainya.

”Jadi kita akan sediakan satu ruang yang membolehkan golongan muda menggunakan fon kepala untuk mendengar muzik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Peringkat Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Ahmad berkata, perpustakaan juga akan menyediakan ruang untuk mereka membaca secara bersantai iaitu tanpa perlu duduk di atas kerusi dan meja

”Mereka boleh membaca bahan atau buku dengan cara berbaring dan sebagainya,” katanya.

Beliau memberitahu, tindakan itu perlu diambil bagi memupuk dan meningkatkan minat membaca di kalangan golongan muda.

”Ini kerana berdasarkan kajian yang disiarkan, minat membaca semakin berkurangan dengan hanya dua bukan dibaca setahun,” katanya.

Read Full Post »