 |
PELAWAT kini boleh menikmati keindahan sungai melalui aktiviti menyusuri Sungai Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terenggan
|
KUALA TERENGGANU 22 Mac (Utusan Malaysia) – Sudah masuk tahun kedua, Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini yang mempamerkan lebih 20 replika seni bina terkenal dunia Islam, dibuka kepada pengunjung.
Lebih dua juta pelancong tempatan dan asing telah mengunjungi TTI sehingga menjadikannya antara lokasi pelancongan yang paling digemari di negeri ini.
Daripada jumlah itu, 400,000 orang memasuki Taman Monumen yang menempatkan replika-replika seni bina Islam dengan hanya bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.
Dengan jumlah kedatangan pelancong yang dijangka semakin meningkat, TTI tampil menawarkan satu lagi aktiviti menarik kepada pengunjungnya iaitu pelayaran menyusuri Sungai Terengganu.
Pengurus Kanan TTI, Mohd. Khomsa Chik berkata, perkhidmatan tersebut mula ditawarkan pada pertengahan bulan ini.
Menurut beliau, melalui pelayaran itu pengunjung akan dibawa menyusuri sungai berkenaan untuk melihat kehidupan nelayan dan rakyat Terengganu.
”Mereka juga akan dapat melihat beberapa bangunan dan seni bina Terengganu seperti Jambatan Sultan Mahmud, Bazar Warisan, Kampung Cina, Pengkalan Keropok Losong dan Hotel Ri-Yaz Resort yang menjadi lokasi penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, perkhidmatan itu disediakan sebagai aktiviti sampingan untuk pengunjung selepas melawat Taman Monumen.
Katanya, sebanyak empat bot disediakan untuk membawa pengunjung menyusuri Sungai Terengganu sejauh kira-kira dua kilometer yang mengelilingi Pulau Duyong dan kampung sekitarnya.
Jelasnya, bot-bot yang disediakan merupakan jenis kolek dan payang yang merupakan dua jenis bot tradisional yang digunakan oleh nelayan Terengganu.
”Kedua-dua bot tersebut telah diubah suai bagi membolehkan ia digunakan untuk aktiviti menyusuri sungai. Bot payang mampu membawa sehingga 12 orang penumpang manakala bot kolek pula boleh membawa sembilan orang.
”Dengan hanya bayaran RM10 seorang, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan tersebut yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari,” ujarnya.
Beliau memberitahu, sebanyak dua kakitangan iaitu pemandu pelancong dan pemandu bot akan membawa penumpang sepanjang pelayaran tersebut.
”Pemandu pelancong terdiri daripada pendudukan tempatan dan mampu bercakap dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan memberikan penerangan berhubung tempat menarik dan sejarah setiap lokasi yang dilalui dalam pelayaran itu.
”Mereka telah diberikan kursus latihan dan kemahiran seperti menyelamat bagi menangani sebarang masalah yang berlaku,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, TTI sedang merancang untuk menyediakan sebuah bot dua tingkat untuk pelayaran tersebut.
”Tingkat atas bot berkenaan akan menjadi tempat untuk mereka yang ingin mengadakan sebarang majlis,” katanya.
Read Full Post »