Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 22nd, 2009

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan negeri mensasarkan untuk menjadi pengeluar dan pengeksport daging kambing terbesar menjelang 2015, bagi memenuhi permintaan tinggi bahan mentah itu dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan sedang rancak melaksanakan pelbagai program dalam memastikan sasaran itu dapat direalisasikan lebih awal dari tempoh ditetapkan.

Beliau berkata, ketika ini, ternakan dalam negeri hanya dapat menampung 10 peratus permintaan daging kambing domestik dan usaha untuk menjadi pengeluar dan pengeksport bahan mentah itu perlu digiatkan.

“Tumpuan kita dalam bidang ternakan adalah kepada kambing pedaging kerana didapati ternakan ini mempunyai pasaran luas khususnya permintaan dan keperluan dalam negara.

“Justeru, kita sedang giat melaksanakan dan merancang pelbagai program termasuk untuk penternak tradisional bagi memastikan sasaran untuk menjadi pengeksport terbesar daging kambing sekurang-kurangnya 65 peratus keperluan dalam negara menjelang tahun 2015 menjadi kenyataan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penternak dan Koperasi Perwakilan Penternak (Koternak) di sini, semalam.

Rozi berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran berkenaan melalui lima projek ternakan yang sudah dilaksanakan iaitu Skim Jaminan Bekalan Makanan, Lembah Kaprima oleh Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), projek kerajaan negeri dan Projek Kambing Pedaging di Taman Pengeluaran Makanan Kekal yang dikendalikan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) dan dipantau oleh Terengganu Agrotek Development Corporation (TADC).

Beliau berkata, bagi membiayai empat projek berkenaan, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM54 juta dalam bentuk geran kepada TADC dan RM50 juta kepada Jabatan Veterinar.

“Peruntukan ini akan disalurkan secara berperingkat untuk empat projek berkenaan sehingga 2013. Kita yakin sasaran yang ditetapkan adalah realistik dan dapat merealisasikannya sebelum 2015,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »