KUALA TERENGGANU: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah badan khas seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau dan menguruskan ekonomi negara dengan lebih baik dan berkesan terutama selepas pembentangan Bajet Mini 2009/2010 baru-baru ini.
Yang Dipertua DPMMT, Datuk Tengku Ismail Tengku Jaafar, berkata dewan perniagaan itu yang mengadakan mesyuarat Agung kali ke-39 pada semalam membincangkan secara serius isu pelaksanaan Bajet Mini 2009/2010 sebagai usul utamanya.
Beliau berkata, mesyuarat agung yang dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah di Terengganu Equestrian Resort (TER) itu akan memastikan pelaksanaan Bajet Mini dibuat secara telus tanpa sebarang kebocoran atau ketirisan.
Beliau berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai golongan usahawan dan peniaga, DPMMT menyambut baik Bajet Mini yang baru dibentangkan dan berharap pelaksanaannya dengan peruntukan sejumlah RM60 bilion itu mencapai sasaran bagi membantu golongan usahawan serta rakyat berdepan kemelesetan ekonomi.
“DPMMT berharap pelaksanaannya akan dibuat secara telus dan tiada sebarang ketirisan. Justeru, DPMMT mengesyorkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bertindak memantau dan menguruskan ekonomi negara dengan baik dalam keadaan kegawatan ekonomi ini.
“DPMMT menjemput semua ahlinya untuk hadir ke mesyuarat agung ini kerana pembentangan dan perbahasan usul serta Laporan Tahunan DPMMT juga akan dibentangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.