KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) — Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini, yang menempatkan lebih 20 replika seni bina dunia Islam, kini mempunyai tarikan baru apabila memperkenalkan perkhidmatan River Cruise menyusuri Sungai Terengganu.
Pengurus Besar TTI, Mohd Khomsa Chik berkata perkhidmatan yang mula beroperasi empat hari lepas itu, ialah bagi membawa pengunjung menyusuri Sungai Terengganu, mengeliling Pulau Duyong dan kampung sekitarnya sejauh kira-kira 2.5 kilometer.
“Perkhidmatan ini yang menggunakan lima buah bot pelbagai jenis, mengambil masa perjalanan selama satu jam 15 minit. Sejak mula beroperasi, sambutannya menggalakkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata setiap penumpang dikenakan bayaran RM10 dan pihaknya bercadang untuk menambah bot berkenaan pada masa akan datang.
Selain perkhidmatan River Cruise, Mohd Khomsa berkata lapan buah bot turut disediakan di kawasan tasik buatan di pulau berkenaan, yang sudah pun beroperasi.
Beliau berkata turut dirancang ialah penyediaan perkhidmatan bot bertingkat untuk dijadikan sebagai “bot makan bergerak”, yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM1 juta, tidak lama lagi.
Katanya TTI juga menyediakan empat unit homestay dengan setiap sebuah mengandungi tiga bilik yang mampu memuatkan lapan orang bagi setiap unit.
Bagi pembangunan TTI fasa kedua, Mohd Khomsa berkata pihaknya merancang membina apartmen serta hotel di kawasan pulau itu bagi menampung keperluan tempat penginapan di bandar Kuala Terengganu.
Beliau berkata sejak TTI dibuka kepada pengunjung Februari tahun lepas, kira-kira dua juta pelancong telah mengunjunginya termasuk 400,000 pelancong yang melawat lebih 20 replika seni bina dunia Islam itu.
— BERNAMA