Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 16th, 2009


ONG terpaksa meletak beg plastik dan mengibar bendera bagi menghalang burung walet masuk ke kediamannya.

Garis panduan mohon lesen dikeluarkan PBT tiga bulan lagi

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Nasib lebih seribu ‘rumah burung’ di negeri ini bakal diketahui dalam masa tiga bulan apabila garis panduan permohonan lesen premis perusahaan sarang burung walet dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Persoalan utama yang perlu diambilkira PBT ialah sama ada perusahaan yang sekarang dijalankan di kawasan bandar akan dikekalkan atau dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai di luar bandar.

Presiden Persatuan Pedagang Sarang Burung Terengganu (PPSBT), Datuk Tok Teng Sai, berkata kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan premis perusahaan sarang burung walet berada di sekitar kawasan bandar.

Katanya, kerancakan perusahaan sarang burung walet bermula sejak awal tahun 1990-an apabila banyak tingkat atas rumah kedai, terutama di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini, mula diubah-suai untuk dijadikan premis tempat burung walet bersarang.

“Pada mulanya, burung walet terbang ke sini akibat jerebu yang melanda Sumatera, Indonesia, namun kini burung tersebut sudah menjadikan Terengganu dan kebanyakan negeri lain di Malaysia sebagai tempat mereka bersarang.

BEBERAPA bangunan di Jalan Tok Lam diubahsuai menjadi ‘rumah burung’ walet.

“Kedatangan burung walet yang tidak dijemput itu memberi rezeki lumayan kepada pemilik bangunan tempat burung bersarang kerana harga sarang burung walet mencecah ribuan ringgit untuk satu kilogram di pasaran,” katanya.

Tok berkata, amat tidak wajar sekiranya PBT bertindak untuk menutup perusahaan di bandar dan berpindah ke luar bandar kerana pengusaha premis sarang burung sudah membuat pelaburan yang besar.

Katanya lagi, pelaburan ratusan ribu ringgit akan hilang begitu saja kerana burung walet adalah binatang bebas yang tidak boleh dikawal dan bukan binatang ladang seperti lembu, kambing, ayam dan itik yang boleh dipindah pada bila-bila masa.

“Tambahan pula, burung walet mempunyai jasanya tersendiri kepada masyarakat setempat seperti membuka peluang perniagaan sehingga ke luar negara, memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dan menambah nilai hartanah di kawasan bandar.

“Sebagai contoh, sebelum datangnya burung walet, rumah kedai dua tingkat di Kampung Cina tidak dapat dijual walaupun harganya cuma RM100,000 namun nilai hartanah yang sama melonjak kepada lebih RM500,000 dengan adanya burung walet,” katanya.

Katanya, memang ada pihak yang kurang senang dengan premis yang dikatakan mengeluarkan bunyi bising, bau busuk dan najis yang berterbangan namun bukan semua masalah itu hanya disebabkan burung walet.

Tok berkata, sehingga kini mungkin masih ramai lagi yang tidak dapat membezakan antara burung walet dan burung layang-layang yang kelihatan serupa dari segi fizikal namun amat berlainan dari segi cara hidup dan kualiti sarang mereka.

“Burung walet yang dikenali dengan nama saintifik Aerodramus mempunyai tujuh spesies dan burung ini yang sarangnya boleh dimakan sentiasa berterbangan tetapi akan hinggap untuk bertenggek di sarang masing-masing.

“Burung layang-layang pula dikenali sebagai Hirudininae yang mempunyai 74 spesies dan antara kelainan burung ini adalah kecenderungannya untuk berhijrah dan suka bertenggek di talian elektrik atau telefon di waktu senja, dan sarangnya juga tidak boleh dimakan kerana diperbuat daripada rumput dan batu,” katanya.

Bagaimanapun, wakil penduduk 19 buah rumah kedai di Jalan Tok Lam, Ong Pok Kok, berkata tidak kira sama ada burung walet ataupun layang-layang, kehidupan mereka terganggu dengan adanya premis sarang burung berdekatan dengan tempat perniagaan dan kediaman mereka.

Ong yang menjalankan perniagaan kedai makan, berkata penduduk setempat sudah tidak tahan dengan bunyi bising rakaman kicauan burung yang berlarutan sehingga larut malam dan kotoran najis burung yang memberi masalah kesihatan kepada mereka.

Katanya, walaupun sudah membuat laporan kepada PBT namun setakat ini tidak ada tindakan sewajarnya diambil dan mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan tertekan dengan masalah yang sudah berlanjutan sejak lebih lima tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Rosli Othman, berkata industri sarang burung walet akan dapat dikawal selia PBT dengan adanya garis panduan yang bakal dikeluarkan dalam masa tiga bulan lagi.

“Apa yang saya dapat janjikan ialah tidak ada pihak yang teraniaya apabila garis panduan ini siap untuk diguna pakai nanti kerana kerajaan negeri akan mengambil jalan terbaik untuk mengeluarkan lesen kepada pengusaha perniagaan sarang burung.

“Masalah yang dialami penduduk setempat juga akan diambil kira dan boleh dikatakan, cuma pengusaha yang mengikut peraturan dan undang-undang saja yang akan dapat beroperasi di premis yang diluluskan PBT,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

Himpun 150 gajah liar

AHMAD Said mengambil peluang memberi gajah makan di santuari gajah di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN

HULU TERENGGANU 15 Mac (Utusan Malaysia)- Santuari Gajah di Sungai Ketiar adalah antara produk pelancongan yang akan ‘dijual’ sebagai tarikan utama di Terengganu dalam misi kerajaan negeri memajukan sektor berkenaan sebagai tulang belakang ekonomi negeri pada masa hadapan.

Santuari yang dibuka pada 29 Januari 2008 kini sedang dibangunkan dengan pelbagai kemudahan sebagai nilai tambah kepada pengunjung.

Nilai tambah berkenaan ialah pembukaan kawasan perlindungan gajah liar dalam habibat semulajadinya melibatkan kawasan seluas 15,000 hektar.

Ketika ini, santuari berkenaan yang terletak kira-kira 95 kilometer dari bandar Kuala Berang yang boleh dikunjungi melalui jalan baru Kuala Berang-Tasik Kenyir-Aring itu mempunyai dua ekor gajah jinak sebagai tarikan pengunjung.

Apabila siap sepenuhnya nanti, ia mampu menampung lebih 150 ekor gajah liar.

Projek kerajaan negeri ini bukan sahaja menawarkan produk pelancongan baru di negeri Terengganu, malah ia juga sebagai penyelesaian kepada masalah serangan gajah liar yang dihadapi oleh penduduk kampung-kampung di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, lebih 150 ekor gajah liar yang kini berkeliaran di seluruh negeri ini akan ditempatkan di santuari berkenaan kelak.

”Usaha ini akan membendung gajah-gajah liar dari mengganggu dan memusnahkan tanaman serta penempatan penduduk,” katanya ketika melawat santuari itu baru-baru ini.

Menurutnya, santuari berkenaan akan dibahagikan kepada tiga plot dengan setiap plot seluas 5,000 hektar yang setiap satunya akan dikawal menggunakan pagar elektrik.

Jelasnya, ketiga-tiga plot itu akan dibuka kepada pengunjung secara pusingan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Uniknya, gajah yang dilepaskan dalam santuari itu akan dibiarkan bebas dalam kawasan berpagar serta masih mengamalkan kehidupan secara liar.

”Kita sedang mengenal pasti laluan gajah liar ini supaya dapat merancang untuk membuka plot mengikut pusingan tanpa mengganggu kitaran makanan untuk haiwan berkenaan.

”Laluan-laluan selamat untuk pelancong juga sedang dikenal pasti agar lawatan ke santuari gajah ini akan memberi kepuasan kepada pengunjung,” kata Menteri Besar.

Menurutnya, kajian juga sedang dijalankan untuk kos pemasangan pagar elektrik dan pelbagai keperluan lain bagi membolehkan kira-kira 150 ekor gajah liar dari seluruh Terengganu ditempatkan di santuari itu.

Jelasnya, gajah-gajah liar berkenaan akan ditempatkan di satu plot pada satu-satu masa dan kemudiannya haiwan itu akan digilirkan mengikut plot bagi memastikan sumber makanannya terjamin.

Ahmad memberitahu, santuari tersebut juga akan menjadi tempat latihan gajah dalam melakukan pelbagai aksi yang dapat menarik perhatian pelancong.

”Anak-anak gajah liar berkenaan akan dilatih mengangkat balak, melakukan aksi menarik dan dijadikan tunggangan manusia seperti yang dilakukan di negara jiran seperti Thailand,” ujarnya

Read Full Post »

SANTUARI Gajah yang diwartakan sebagai Taman Pemuliharaan Hidupan Liar negeri Terengganu di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu ini akan dijadikan tempat melatih 150 ekor gajah liar.


HULU TERENGGANU 15 Mac (Utusan Malasyia) – Bukan mudah untuk mengendali haiwan besar seperti gajah, namun renjer di Santuari Gajah, Sungai Ketiar mempunyai cara tersendiri menangani kerenah haiwan itu.

Lima kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang bertugas di santuari itu menggunakan dua kaedah iaitu usap dan tampar supaya dua ekor gajah dikenali sebagai Suria dan Chali ‘mendengar’ arahan mereka.

Seorang renjer, Mohd. Shafain Abd. Kadir, 26, berkata, kaedah usap iaitu dengan cara membelai gajah berkenaan digunakan bagi menunjukkan kasih sayang terhadap kedua-dua haiwan tersebut.

”Kaedah kedua iaitu tampar pula digunakan supaya haiwan itu mengikut cakap dan arahan yang diberikan.

”Kita tidak memukul dengan kuat tetapi sekadar memberi amaran supaya haiwan tersebut takut dengan kita,” katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua kaedah itu digunakan secara serentak bagi menunjukkan Suria dan Chali disayangi.

Katanya, gajah-gajah itu perlu mengikut kata penjaganya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini terhadap pengunjung.

Beliau berkata, bahasa yang digunakan untuk memberi arahan kepada gajah-gajah tersebut adalah dalam bahasa Thailand dan Myanmar kerana kedua-dua haiwan itu dijinakkan oleh jurulatih dari negara itu.

Read Full Post »