KUALA TERENGGANU, 14 Mac (Bernama) — Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memerlukan peruntukan kira-kira RM43 juta bagi mengubah sistem jalan raya di bandar Kuala Terengganu kepada jalan sehala.
Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Mat Razali Kassim berkata penukaran jalan ITU penting bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di bandar berkenaan pada masa ini.
“Bagi menukar keseluruhan jalan sedia ada kepada jalan sehala ini melibatkan peruntukan yang besar,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sebelum ini, MBKT bercadang melaksanakan jalan sehala di beberapa jalan di bandar Kuala Terengganu, mulai bulan depan.
Mat Razali berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat kajian mengenai keadaan lalu lintas di bandar ini, yang semakin sesak sejak dua tahun lepas.
Beliau berkata lampu isyarat yang terlalu banyak serta keadaan jalan yang sempit di beberapa tempat, antara punca berlaku kesesakan lalu lintas di bandar Kuala Terengganu terutama di Kampung Cina.
“Kita sedang memantau perkara ini dan akan cuba mengatasinya dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengenai cadangan jalan sehala awal bulan depan, Mat Razali berkata ia merupakan projek percubaan melibatkan Jalan Air Jernih, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Batas Baru.
Beliau berkata jika projek itu didapati berkesan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas, ia akan dikekalkan.
“Dalam tempoh percubaan ini, kita akan lihat keberkesanannya (mengatasi kesesakan lalu lintas). Lampu-lampu isyarat di jalan-jalan berkenaan juga akan diubah,” katanya.
— BERNAMA
[…] MBKT Perlu RM43 Juta Untuk Laksana Jalan Sehala […]
[…] MBKT Perlu RM43 Juta Untuk Laksana Jalan Sehala […]