BERLIN, 15 Mac (Bernama) — Walaupun telah mengambil bahagian pada Bursa Pelancongan Antarabangsa di Berlin, pameran pelancongan terbesar dunia, sejak tiga tahun lepas, Terengganu mendapat perhatian hangat pada pameran tahun ini yang berlangsung dari 11 hingga 15 Mac.
Menyedari keperluan untuk mempelbagaikan sumber ekonominya, Terengganu cuba untuk mengambil bahagian dalam sektor perkhidmatan, dengan sasaran mempromosi sektor pelancongannya.
“Kami berusaha keras untuk menarik pelancong. Kami telah mendapat kebenaran dari Kementerian Pengangkutan untuk penerbangan terus oleh Firefly dari Terengganu ke Singapura mulai Jun tahun ini.
“Sasaran kami ialah untuk mendapat 10 peratus daripada rakyat Singapura yang keluar negara melawat Terengganu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Zaabar Mohd Adib dalam temubual dengan Bernama di sini.
Zaabar berkata Terengganu mempunyai pelbagai tarikan pelancongan terutama pantainya sepanjang kira-kira 224km, serta pulau yang bersih dan dipenuhi hidupan laut yang eksotik.
“Kami perlu mempromosi secara agresif Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Tasik buatan manusia iaitu Tasik Kenyir adalah satu lagi tarikan pelancongan yang ada di Terengganu. Di sana, kami menawarkan rumah bot untuk percutian keluarga,” katanya.
Beliau berkata Terengganu menarik lebih 3.5 juta pelancong tahun lepas melebihi jumlah yang disasarkan iaitu 3.5 juta.
Zaabar berkata walaupun berlaku kegawatan ekonomi dunia pada masa ini, Terengganu mendapat sambutan yang baik pada ITB.
“Kejohanan Piala Monsun kami yang akan diadakan pada minggu pertama Disember 2009 sangat popular di sini.
“Pada 2008, kami ada kejohanan kuda lasak dunia. Ramai pengunjung Jerman yang melawat gerai kami menunjukkan minat terhadap pulau-pulau yang kami ada. Pasaran utama kami ialah United Kingdom, Jerman dan negara-negara Eropah lain.
“Walaupun ramai rakyat Singapura melancong ke Terengganu, untuk statistik, mereka dianggap sebagai pelancong domestik. Rakyat Indonesia juga ramai yang melawat Terengganu,” katanya.
— BERNAMA