KUALA TERENGGANU 12 Mac (Utusan Malaysia) – Pusingan ketiga Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir akan berlangsung pada 20 hingga 21 Mac ini.
Pertandingan anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sebagai sebahagian daripada usaha mempromosi tasik itu akan diadakan di sekitar Sungai Mandak/Sungai Tembat iaitu kira-kira tiga jam perjalanan dari Pengkalan Gawi dengan menaiki bot.
Menurut kenyataan Ketengah hari ini, seperti pusingan pertama dan kedua, peserta akan memancing di atas ‘boat house‘ bagi membolehkan mereka menikmati keindahan tasik berkenaan.
”Sebanyak lapan pusingan pertandingan akan diadakan,” kata kenyataan itu.
Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM150 seorang yang meliputi kos penginapan dan pengangkutan, makan minum serta cenderamata.
Hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 menanti pemenang pada pusingan ini selain hadiah bernilai RM50,000 pada pusingan akhir.
Juara keseluruhan akan menerima hadiah istimewa sebuah kereta Perodua Viva 660.
Mereka yang berminat menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan borang di semua pejabat Ketengah atau melayari laman web http://www.ketengah.gov.my.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Mac ini. Keterangan lanjut boleh menghubungi Zukaimi Ahmad 019-9208400 atau Hassan Mansor 019-9348626.
Leave a Reply