Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 11th, 2009

KUALA TERENGGANU 10 Mac (Utusan Malaysia) – Lebih 80 buah rumah yang dibina secara haram di tanah kerajaan di Kampung Cina di sini, diarah dirobohkan bagi membolehkan kawasan itu dimajukan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw berkata, arahan itu dikeluarkan Pejabat Tanah bulan lepas dan tempohnya telah pun berakhir dua minggu lepas.

“Kita harap mereka yang terlibat akan memberi kerjasama bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan berjalan dengan lancar,” katanya di sini hari ini.

Read Full Post »

Bersambung dari bahagian kedua Mat Spröng Kelecak Barak II

(asal dari: Blog Awang Goneng: http://kecek-kecek.blogspot.com/ pengarang buku “Growing Up in Trengganu”)

Mat Spröng Kelecak Barak III

Bila lenggök ke langik napök awang kkupo macang kapah, macang kayu keramat, macang jjeput pisang pong ada jugök. Mat Sprong ssètök terus angkat ppala dari hood tèksi hök Cik Kalèh buka sebab hari tu ceröh mölèk.

“Aku mmipi ke aku napök beto ning, Lèh?” tanya Mat.

Dia lenggök lagi ke langik, awang tu ada lagi macang muka Lijöh – masang ccatung, mmusang takdök aröh.

Cik Kalèh berenti göhék tèksi, masok ttepak tedoh bbawöh pohong asang gelugor dekat könar rumöh Èzèk, ccelöh löröng kecik masok ke sebelöh Istana Kolang. Dia pasang gelang tali hök dia buak untok pegang berék dök beri tèksi ggerök. Radio National hök dia beli kkeda Tokèh Ubang ada ggatong ddepang, dekat lapu tèksi, dok bbunyi wa-wa lagu permintaang suri rumöh-tangga, buat Mat serabuk perok.

“Mung napök Lijöh duane?” Cik Kalèh tanye bila tengök Mat dok lenggök ke langik, mata dia dök kkelik.

“Tu, muka Lijöh lah di awang tu, muka dia lèk-lèk. Dok cerlöng kat aku,” jawab Mat.

Cik Kalèh aléh mata ke kereta Jaguar Èzèk baru keluör dari setar, dia sebok denge suara köhör: “Aku bukang nök ccapor ha mung, Mak, tapi baru takdi aku jjupe Lijöh dia tanye mung duana sebab dia dok cari mung rata cerök.”

“Dulu kalu aku ngajji bbeto di Gramma Seko tu gamök öh aku döh jjadi D.O. le ning.” Mat nnengung sebetör, dok tenung tapök tangang. Hidong dia ddepè sikik, tapi badang dia gagöh döh lepah makang makjong hök Cik Kalèh sipang ccelöh tepak dudok tèksi, ddalang kötök.

Cik Kalèh ngelloh panjang.

“Aku pong kalu ngajji bbeto dulu aku döh jjadi ustad le ning Mak, tapi nök wak guane dulu aku ralék dok gi tèngök orang mmaing rödak. Dunia ning ggitulah, serema orang ada hök masing-masing, memang ada ttuléh ddalang kitab. Kalu serema örang jjadi D.O., sape nök göhék tèksi, Mak, sape nök akot tahi, sape nök wak kerepok? Mung ning aku megöh denge mung, dulu mana ada di Teganung ning örang jjadi mata gelak?”

“Tapi aku nök kata sikik, Mak, mung jangang maröh.” Mata Cik Kalèh pandang jauh. “Takdi Lijöh tanye aku mung duane. Gi lah tèngök dia sikik, tulong pujok sebab Munöh tu döh tiga hari dök balik. Aku kata döh kat dia mung dok usaha cari, tapi dia asyik nök jjebèk je, nök nnangis selalu bila aku sebok.”

“Aku bukang dök cakne, Lèh. Aku pong rusing, tapi aku tak dök aröh nök buak döh. Mung örang ngajji, tetu mung tahu. Mung ingak Munöh tu kena susuk?”

Cik Kaleh tutop radio transistor di basika tèksi dia. Mata dia sila sebab kena cahaya mata hari hök ssinör dari aröh Sekölöh Paya Bunga, atah kubor Kapong Ttani.

Cik Kalèh kacing butang atas baju dia; jang dia kkelik ddalang cahaya ceröh.

“Kadang-kadang aku ambék budök Dol tu dari sekölöh, Mak. Dia dudok ssitu, dekat kubor lama tu, jadi aku kena sangaklah kawasang ning. Satu malang aku bawök sörang ppuang muda kèndöng anök ddalang kaing atah bau dia, dia nök balék rumöh dia ssitu…” Suara Cik Kalèh berenti sekejak.

Mat bikah bangung, turong dari tèksi teruh gi ssandör di pohong asang jawa. “Dökkanglah Munöh tu beranök pulök, lari dari Lijöh sebab takot. Ada apa-apa hök mung dök cerita kat aku, Lèh?” Mat buat macang nök sèng hingus, tapi dia telang teruh, ddegök.

“Bukang ggitu Mak, aku nök cerita pasa hök mung kata tu takdi. Orang ppuang hök aku ambék tu kata rumöh dia ssitu, kat rumöh budök Dol sekölöh SS tu, bila aku gatéh sapa ssitu aku tèngök dia senyung ssengèh, pah tu dia ngilla kah-kah!”

“Nasib baiklah aku ingak hök aku belajör dulu, aku baca sebutir dua ayak, aku tembör lari teruh, esökkang baru aku gi ambék teksi.” Tamböh Cik Kalèh.

“Di Teganung ning banyök kejadiang ggitu le ning,” kata Cik Kalèh lagi bila dia tengök mata Mat Sprong dok cerlöng bulak. “Bila aku gi ambék teksi aku èsök tu ada batu nèsang sutér ttepak dudok; tulah anök hök dia bawök.”

“Aku pernöh döh siasak kéh macang ning. Budök ppuang jugök, hilang lepah mmaing cökök. Mung tau Lèh, pah dua hari aku jjupe budök tu atah dahang pohong kerekuk dok makang mee görèng ddalang pinggang.” Mat Spröng apör dua tapök tangang ddepang Cik Kalèh.

“Pah tu?”

“Hök dia dok makang tu bukang mee, Leh, tapi cacing sepinggang,” kata Mat.

Kambing ddembèk dari jauh, daung asang jawa luroh atah ppale Mat. Dia geliak dua tiga kali, napök gelisöh.

“Eh, Lèh, makjong hök mung beri kat aku ning utok apa? Aku rasa pelèk sikik.”

Cik Kalèh ppaling ke rumöh guru besör Gramma Sko, Mister Èzèk, mulok dia senyung, napök gigi mah kkilak.

Cerita ning adalah karangang rèkaang semata-mata dang takdök kena mengena denge ssapa pong sama ada masih hidop, sudöh mati atau pong dok tengöh berasa dök rök.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 10 Mac (Utusan Malaysia) – Seramai 2,750 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di negeri ini lulus sekurang- kurangnya satu mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ariffin Embong berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan 1.66 peratus berbanding 2,603 calon STPM yang lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada 2007.

Menurutnya, lima calon memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.00 dengan mendapat 4 Prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Peratusan calon 2008 lulus penuh lima dan empat mata pelajaran meningkat 2.62 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada keseluruhannya, keputusan STPM 2008 meningkat dengan jumlah calon yang gagal dalam semua mata pelajaran menurun kepada sembilan orang berbanding 15 orang pada 2007,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan dua pelajar cemerlang STPM 2008 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini hari ini.

Ariffin berkata, bilangan sekolah yang lulus penuh 100 peratus juga meningkat dari 12 sekolah pada 2007 kepada 21 sekolah pada tahun lalu.

“Antara sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, SMK Kuala Besut, SMK Tengku Mahmud, SMK Seri Nering, SMKA Nurul Ittifaq dan SMK Bukit Payong di Besut.

“SMKA Sheikh Abdul Malek, SMK Sultan Ahmad, SMK Sultan Sulaiman, SMK Datuk Razali Ismail, SMK Padang Midin, SMK Chung Hwa Wei Sin dan SMK Belara turut memperoleh kelulusan 100 peratus,” ujarnya.

Katanya, 10 daripada 18 mata pelajaran yang diambil oleh calon STPM 2008 meningkat prestasinya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU: (Berita Harian) Kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta bagi membangunkan kawasan pelancongan yang mempunyai unsur warisan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri berasaskan sektor berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw, berkata antara tapak yang sudah dikenal pasti ialah Kampung Cina, kerana ia mempunyai bangunan bercirikan seni bina Timur, Arab dan Barat yang dilihat mampu menarik minat pelancong.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan bagi memulihara warisan berkenaan termasuk membaik pulih bangunan lama iaitu dengan memperbaiki struktur, menambah sesetengah bahagian dan mengecat semula bumbung serta bahagian hadapan dengan warna menarik bagi menjadikannya meriah dan sesuai untuk dijadikan bahan fotografi.

Katanya, usaha itu bertepatan dan perlu bagi menjaga imej warisan negeri ini yang diwartakan sebagai hab pelancongan Pantai Timur di bawah projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer).

“Pada 2007, Kampung Cina termasuk dalam senarai 100 tapak Warisan Terancam oleh World’s Monuments Fund.

“Bagaimanapun dengan bantuan kerajaan negeri, sokongan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan beberapa persatuan kaum Cina, kira-kira 300 rumah yang berusia lebih 300 tahun berjaya dibaik pulih,” katanya kenyataan di sini, semalam.

Toh berkata, usaha lain yang sedang dirancang termasuk membina jambatan dan jalan bagi menghubungkan Kampung Cina ke Pulau Warisan, sebuah pulau buatan yang akan didirikan dengan bangunan berciri tradisional dan kemudahan rekreasi.

“Selain itu, pembinaan jalan dua hala dan pembaikan sistem kumbahan sedang dilakukan bagi memantapkan sistem kemudahan di tempat ini dan dijangka siap pada 2010.

“Kami percaya selain menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelancong, projek ini juga boleh menambah keindahan dan keceriaan kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, bagi menarik kunjungan pelancong ke tapak warisan, pelbagai juadah dan hidangan tempatan yang hampir pupus dihidupkan semula, antaranya laksa nyonya Terengganu yang menjadi resipi turun temurun keluarga Chef Tan Choon Bee, seorang tukang masak terkenal di situ.

“Tan memperoleh resipi berkenaan daripada ibu mentuanya, seorang chef nyonya yang sangat cerewet dan teliti berhubung soal masakan.

“Malah ia mendapat sambutan baik terutama pelancong dari New Zealand, China dan Singapura yang tertarik dengan masakan ala nyonya Terengganu kerana ia menggabungkan bahan masakan tempatan menyebabkan rasanya unik serta berbeza dengan masakan nyonya Pulau Pinang dan Melaka,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pelancong pada tahun lalu berjumlah 3.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus daripada 2.8 juta yang dicatatkan pada 2007.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 9 Mac (Utusan Malaysia) – Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman mahu rakyat negeri ini menjadi umat Islam yang terbilang dan disegani.

Katanya, setiap individu, masyarakat dan organisasi perlu menguasai ilmu selain bertakwa dan memberi komitmen sepenuhnya bagi mencapai tahap tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar daripada mereka masih gagal dalam tugas berdakwah kepada seluruh umat manusia.

”Sudah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran dan ia tidak terbatas kepada kaum muslimin sahaja tetapi perlu kepada seluruh umat manusia,” katanya pada majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah dan Pelancaran Bulan Dakwah di Stadium Negeri di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud.

Terdahulu, Ahmad menyeru supaya rakyat di negeri ini mengekalkan kedamaian yang dicapai hari ini agar dapat diperturun dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, negara-negara Arab dilihat tidak bersatu hati serta tidak mempunyai semangat setiakawan dan ukhuwah Islamiah untuk bangkit menentang kekejaman yang dilakukan oleh tentera Zionis yang akhirnya berlakunya peperangan dan kehilangan nyawa yang tidak berdosa.

”Oleh itu pada hari ini saya menyeru setiap lapisan masyarakat agar menjadikan sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Dakwah ini sebagai satu wacana ke arah menjadikan diri, bangsa dan agama ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sebelum itu, sebanyak 92 pasukan yang terdiri daripada 3,800 peserta menyertai perarakan yang bermula di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan berakhir di Stadium Negeri kira-kira pukul 8 pagi.

Anugerah khas perarakan bagi kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun dimenangi oleh Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Imigresen (Jabatan Kerajaan Persekutuan/Badan Berkanun Persekutuan), Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Batu Buruk (Sekolah dan Institut Pengajian Tinggi Awam), Majlis Belia Negeri Terengganu (Syarikat dan NGO) dan Akademi Bomba Wakaf Tapai (Pasukan Beruniform).

Pemenang mengikut kategori masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu.

Read Full Post »