Feeds:
Posts
Comments

Archive for March 10th, 2009

MARANG 8 Mac (Utusan Malaysia) – Menjelang seminggu lagi bermula musim penyu bertelur, Jabatan Perikanan Terengganu membuat persediaan dengan memastikan kawasan perairan di pantai yang menjadi tumpuan spesies itu selamat daripada pukat pari.

Bermula hari ini, operasi dijalankan untuk mengesan pukat pari yang kegunaannya adalah salah mengikut undang-undang perikanan di negara ini.

Ini kerana, pukat berkenaan yang mempunyai ukuran mata melebihi 25.4 sentimeter yang digunakan khas untuk menangkap ikan pari adalah merbahaya kepada penyu kerana ia turut boleh memerangkap haiwan itu.

Pengarah Perikanan negeri, Munir Mohd. Nawi memberitahu, mengikut jangkaan penyu akan mula naik untuk bertelur minggu depan.

”Sebelum itu haiwan-haiwan berkenaan akan merayau di pesisir perairan kita.

”Oleh itu, sekiranya penggunaan pukat pari di kawasan perairan di bawah 1.5 batu nautika dari pesisir pantai tidak disekat, ia boleh menyebabkan penyu terperangkap lalu mati,” katanya.

Dalam operasi hari ini, Munir memberitahu, sebanyak 10 pukat pari yang disorokkan berjaya dirampas jabatan itu dalam operasi yang dijalankan di Pengkalan Seberang Marang dekat sini.

Menurutnya, pukat-pukat yang disembunyikan itu ditemui di bawah dua bangsal ikan tetapi pemiliknya gagal dikesan.

Beliau memberitahu, sejak Januari tahun ini sebanyak lima ekor penyu agar ditemui mati di perairan negeri ini dipercayai kerana tersangkut pada pukat nelayan.

”Pada tahun lalu pula sebanyak 36 penyu agar dan seekor penyu belimbing ditemui mati di perairan negeri ini dipercayai akibat tercedera selepas tersangkut pada pukat nelayan,” katanya.

Jelasnya, sebanyak empat sarang penyu jenis agar ditemui di Ma’Daerah, Kemaman minggu lalu yang merupakan penyu terawal bertelur tahun ini.

“Kita jangkakan mulai minggu depan penyu akan naik bertelur di beberapa kawasan di negeri ini seperti di Ma’Daerah, Rantau Abang, Pulau Redang dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Read Full Post »