![]() |
leftenan Khairul Anuar Abd Majid (kanan) bersama anggota APMM kapal Segantang menahan nelayan Thailand yang menangkap ikan dalam perairan Malaysia di lokasi 4 batu nautika dari pelantar minyak Semangkuk, Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN / AZLAN BAHRUM
|
MARANG 24 Feb [utusan.com.my]. – Kewujudan agensi penguatkuasaan undang-undang termasuk polis dan tentera membolehkan rakyat Malaysia menikmati keamanan dan kemakmuran sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu.
Ini kerana agensi-agensi berkenaan telah memastikan negara ini serta rakyat sentiasa terhindar daripada pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan kita semua.
Begitu juga usaha kerajaan menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) empat tahun lalu dalam memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara berjaya menjaga keselamatan maritim Malaysia.
Melalui beberapa rancangan televisyen, rakyat Malaysia boleh melihat bagaimana polis dan tentera melakukan operasi dalam membanteras jenayah dan kegiatan yang menjadi ancaman kepada negara.
Malah, operasi anggota penguatkuasaan berkenaan turut menjadi plot-plot rancangan drama yang ditayangkan di kaca televisyen.
Justeru, pasti ramai akan bertanya bagaimana pula dengan operasi yang dilancarkan APMM, adakah ia berbeza dengan operasi yang dilaksanakan di darat dan di laut?
Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Timur, Datuk Hamzah Ismail berkata, operasi APMM bermula sama seperti agensi penguatkuasaan lain iaitu dengan melakukan pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan perairan.
“Kebanyakan kes dan kegiatan haram yang dilakukan dikesan melalui rondaan yang dilakukan di sekitar kawasan yang telah diketahui menjadi lokasi-lokasi kegiatan tersebut.
“Kami juga melakukan pemantauan di kawasan tertentu selepas menerima maklumat dan informasi daripada komuniti maritim terutama nelayan,” katanya.
Jelas Hamzah, senario pemeriksaan dan penggeledahan yang dilakukan apabila sebuah bot atau kapal nelayan yang disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram, satu perintah operasi akan dikeluarkan dan satu pasukan menggeledah akan ditubuhkan.
“Anggota pasukan menggeledah akan menaiki dua bot lalu menghampiri dan mengelilingi bot nelayan disyaki dan jumlah keanggotaan pasukan ini bergantung kepada saiz bot atau kapal yang akan ditahan.
“Selepas mengelilingi bot nelayan itu, anggota pasukan bersedia untuk menaiki bot berkenaan,” katanya.
Beliau menambah, apabila menaiki bot nelayan tersebut, empat anggota pasukan itu akan berpecah kepada dua kumpulan dan memeriksa bot berkenaan.
Jelasnya, satu pasukan akan memeriksa geladak atas bot manakala satu lagi pasukan melakukan pemeriksaan di bilik enjin bot.
“Ketua pasukan akan mengarahkan tekong dan awak-awak bot nelayan tersebut untuk berkumpul di bahagian hadapan bot untuk pemeriksaan.
“Tekong dan awak-awak berkenaan akan diperiksa badan sekiranya terdapat senjata bahaya. Ini dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau memberitahu, anggota pasukan pemeriksaan dan penggeledahan kemudian akan memeriksa dokumen-dokumen yang diperlukan untuk membolehkan mereka menangkap hasil laut di kawasan perairan negara.
“Antara dokumen yang akan diperiksa ialah lesen, permit bagi pekerja nelayan asing, peralatan menangkap ikan, jumlah krew bot dan buku pendaftaran bot.
“Anggota pasukan juga akan memastikan bot nelayan melakukan aktiviti menangkap ikan di zon penangkapan ikan yang dibenarkan,” tambahnya.
Kata Hamzah, kesemua krew bot tersebut akan ditahan jika didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Bot nelayan berkenaan kemudian akan ditunda ke jeti APMM,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya APMM menemui kegiatan jenayah lain yang berlaku di bot berkenaan seperti penyeludupan diesel dan dadah, kes berkenaan akan diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.
Leave a Reply