Feeds:
Posts
Comments

Archive for February 22nd, 2009

KUALA TERENGGANU, 22 Feb (Bernama) — Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) berhasrat membina wisma setinggi kira-kira 20 tingkat bernilai RM20 juta di sini sebagai mercu tanda dan pusat kegiatan pelancongan di negeri ini.

Pengerusi PPNT Wan Mohd Ariffin Wan Long berkata wisma tersebut akan dibina di tanah seluas 5,481 kaki persegi di atas tapak bekas perhentian bas ekspres Tanjung, berhampiran Pasar Raya Astaka.

“Kita telahpun menghantar permohonan berhubung cadangan tersebut kepada kerajaan negeri dan berharap ia akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Wan Mohd Ariffin yang juga Pengerusi Eksekutif Noor Arfa Batik berkata mengikut perancangan, wisma itu nanti akan menempatkan semua agensi yang berkaitan dengan pelancongan di bawah satu bumbung.

Dengan wujudnya wisma pelancongan, katanya ia diharap akan dapat membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Ariffin berkata PPNT juga menyokong cadangan kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah badan pelancongan di Terengganu untuk memantapkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Badan tersebut nanti boleh dinamakan sama ada Yayasan Pelancongan Terengganu atau Perbadanan Pelancongan Negeri Terengganu, katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »