Feeds:
Posts
Comments

Archive for February 19th, 2009

KUALA TERENGGANU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjalin kerjasama dengan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) untuk melaksanakan kegiatan penyelidikan dan pembangunan produk bioteknologi berasaskan herba bagi menyemarakkan lagi perkembangan industri halal serantau.

Menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai semalam, ECERDC akan membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan produk bioteknologi berasaskan herba di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan memanfaatkan penyelidikan dan pembangunan produk yang dilaksanakan UDM.

Proses penyelidikan dan pembangunan produk bioteknologi halal berasaskan herba tempatan akan dilaksanakan UDM menerusi beberapa pusat penyelidikannya termasuk Pusat Serantau Produk Halal, Pusat Bioteknologi dan Produk Herba dan Pusat Kerjasama Akademia Industri (CIAC).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata kerajaan memberi perhatian kepada industri pengeluaran produk berasaskan herba kerana ia berpotensi besar untuk menjana ekonomi rakyat.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dan peranan yang dimainkan UDM sebagai Pusat Bioteknologi dan Penyelidikan Herba, Terengganu akan mendapat manfaat kerana lebih banyak kajian berkaitan produk halal dan berasaskan herba terutama keluaran rakyat negeri ini dapat dikomersialkan.

“Kerjasama ini akan membolehkan lebih banyak kajian bagi pengeluaran pelbagai produk dilaksanakan sekali gus mengembangkan potensi industri herba untuk mempunyai capaian pasaran yang lebih meluas,” katanya selepas menyaksikan majlis memeterai MoU dan merasmikan Seminar Persijilan Halal dan Pendaftaran Produk Herba ECER-KPT-UDM, di sini, semalam.

Memeterai MoU itu, ECERDC diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John manakala UDM diwakili Naib Canselor, Prof Datuk Dr Alias Daud.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pengeluaran produk herba boleh ditingkatkan dengan memperbanyakkan pusat jualan dan promosi pemasaran di pelbagai lokasi strategik dan tumpuan orang ramai termasuk lapangan terbang.

Advertisement

Read Full Post »