Feeds:
Posts
Comments

Archive for February 16th, 2009

283 peniaga dibantu

KUALA TERENGGANU 15 Feb [Utusan]. – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah membantu seramai 283 peniaga kecil menerusi bantuan zakat yang diberikan kepada mereka berjumlah RM500,000 sepanjang tahun lalu.

Penolong Setiausaha Agihan Zakat Maidam, Yaacob Abdullah berkata, bantuan di bawah kategori ekonomi itu diberikan kepada peniaga kecil berkenaan mengikut lapan asnaf yang layak.

Katanya, mereka yang merupakan peniaga gerai dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, diberikan bantuan berupa peralatan mengikut perniagaan mereka.

”Saya menjangka jumlah bantuan ini akan meningkat pada tahun ini berdasarkan jumlah permohonan yang telah kita terima,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan mesin pengisar lada kepada seorang peniaga kecil, Siti Meriam Hamzah di sini hari ini.

Yaacob berkata, Maidam juga mengagihkan bantuan berjumlah RM10 juta di bawah kategori pembangunan sosial pada tahun lalu.

”Sebanyak RM847,000 diagihkan di bawah bantuan raya kepada 3,479 orang dan 2,584 orang menerima bantuan bulanan berjumlah RM6 juta,” ujarnya.

Beliau menambah, bantuan zakat sebanyak RM7 juta juga diagihkan di bawah kategori pendidikan.

”Sebanyak 3,000 individu mendapat bantuan di bawah kategori ini,” katanya.

Read Full Post »