KUALA TERENGGANU 11 Feb. – Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah perkampungan nelayan moden di Kampung Seberang Pak Abu di Seberang Takir dalam usaha membantu meningkatkan taraf ekonomi nelayan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kampung seluas enam hektar itu akan dibangunkan dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kediaman.
Beliau berkata, pada masa ini kajian mengenai cadangan tersebut sedang disiapkan oleh Profesor Ibrahim Mamat dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk diserahkan kepada kerajaan negeri.
”Secara lisan saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Perikanan yang bersedia untuk membantu membangunkan kawasan perkampungan nelayan moden yang pertama di negara ini,” katanya.
Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sudut Siber Kanak-kanak Perpustakaan Awam Negeri di sini semalam.
Jelasnya, kerajaan negeri berharap dengan adanya perkampungan nelayan moden itu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas akan dapat meningkatkan lagi ekonomi golongan tersebut yang sering dikaitkan dengan kemiskinan.
Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri juga mengenal pasti kawasan di hujung tanjung kawasan Seberang Takir seluas 56 hektar untuk dibangunkan sejajar dengan pembangunan Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air.
Mengenai peluang bidang pekerjaan di negeri ini beliau berkata, kerajaan negeri dengan Jabatan Tenaga Rakyat akan mengadakan program job fair termasuk temuduga terbuka kepada penganggur.
Bagaimanapun, jelasnya, pada peringkat permulaan program itu akan dibuka kepada lepasan universiti untuk diberi latihan terlebih dahulu sebelum diserapkan kepada syarikat-syarikat kerajaan negeri.
Katanya, bagi memudahkan kerajaan negeri mengenal pasti anak-anak Terengganu yang masih menganggur, sistem simpanan maklumat akan diwujudkan untuk rujukan.
Menurutnya, masalah untuk mendapatkan pekerjaan tidak begitu rumit di negeri ini kerana kerajaan negeri menetapkan dasar 60 peratus pekerja adalah rakyat tempatan.