Feeds:
Posts
Comments

Archive for February 11th, 2009

Pengajian dijangka mula pada pertengahan tahun ini

KUALA TERENGGANU (Bernama): Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) sudah bersedia untuk menerima kumpulan pertama pelajar yang akan mengikuti pengajian perubatan di Kampus Kota, Jalan Sultan Mahmud yang dijangka memulakan sesi pengajian mulai pertengahan tahun ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Alias Daud, berkata buat permulaan seramai 30 pelajar yang terpilih akan memulakan pengajian dengan menjadikan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang terletak bertentangan dengan Kampus Kota sebagai hospital latihan.

“UDM akan memeterai MoU (memorandum persefahaman) dengan HSNZ untuk menyediakan pusat latihan kepada pelajar UDM yang mengikuti kursus perubatan.

“Setakat ini kemudahan pembelajaran untuk menerima kumpulan pertama pelajar sudah lengkap dan akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Pameran Reka Bentuk Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM), Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Alias berkata, sebuah hospital universiti yang akan menjadi hospital latihan sepenuhnya bagi pelajar perubatan UDM juga akan diwujudkan dan pembangunannya akan dimasukkan dalam pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Berikutan pengambilan kumpulan pertama pelajar pertama tidak terlalu ramai, HSNZ akan menjadi hospital latihan sementara kepada pelajar perubatan UDM,” katanya.

Katanya, sebagai universiti yang menjadi antara institusi pengajian tinggi awam yang berkembang dengan cepat di negara ini, UDM kini mempunyai seramai 4,272 pelajar dan jumlah itu dijangka meningkat dan mencapai sasaran 5,000 pelajar menjelang akhir tahun ini.

“Ini adalah perkembangan yang cukup baik kerana dalam tempoh yang begitu singkat iaitu kurang tiga tahun UDM kini mampu mempunyai bilangan pelajar yang ramai selain turut mempunyai tiga kampus yang setiap satu mempunyai peranannya yang tersendiri.

“Kampus Besut disasarkan sebagai pusat perkembangan sains dan teknologi, kampus Kusza sebagai pusat latihan profesional dan kampus Kota sebagai pusat latihan perubatan,” katanya.

Read Full Post »