KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewujudkan unit bergerak untuk memudahkan penduduk bandar raya ini melunaskan bayaran cukai pintu yang tertunggak melebihi RM50 juta sejak lebih 30 tahun lalu.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, berkata MBKT juga sedang mengenal pasti kawasan perumahan untuk memperkemaskan jadual bagi memudahkan unit bergerak itu melaksanakan tugas.
Katanya, menerusi unit bergerak yang baru ditubuhkan itu, MBKT mensasarkan mampu mengutip tunggakan hasil cukai pintu sebanyak RM3 juta setahun.
“Kita sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti pemilik kediaman serta bangunan termasuk premis milik kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri yang gagal menjelaskan tunggakan cukai pintu untuk memudahkan penghantaran borang notis,” katanya selepas majlis angkat sumpah ahli majlis mesyuarat MBKT, di sini, semalam.
Mat Razali berkata, pemilik bangunan dan kediaman yang menerima borang notis itu akan diberi peluang berbincang mengenai kaedah pembayaran termasuk menjelaskan bayaran secara ansuran.
“MBKT akan mengambil tindakan termasuk menyita bangunan dan kediaman termasuk premis milik kerajaan negeri atau anak syarikat kerajaan negeri jika gagal menjelaskan bayaran selepas menerima borang notis,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan pembangunan di kawasan MBKT, Mat Razali berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM19 juta untuk melaksanakan projek kemudahan asas membina ruang niaga serta melaksanakan program keceriaan dan kebersihan tahun ini.
Katanya, MBKT juga sedang melaksanakan fasa pertama projek Taman Panorama di Bukit Pak Apil membabitkan peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
“Selain kantin dan kawasan riadah, kita juga akan membina menara tinjau bagi memudahkan pengunjung melihat keseluruhan bandar Kuala Terengganu di Taman Panaroma,” katanya.
Leave a Reply