Feeds:
Posts
Comments

Archive for February 10th, 2009

KUALA TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) — Kerajaan Terengganu akan membuka zoo pertamanya di Bukit Takal, Kemaman akhir bulan depan dan bakal menjadi yang terbesar di Pantai Timur.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata zoo yang terletak di kawasan seluas 54 hektar bersempadan dengan kawasan kunang-kunang yang terkenal di Kampung Yak Yah, akan mempamerkan sekurang-kurangnya 100 spesis haiwan apabila dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

“Beberapa spesis haiwan seperti burung unta, merak, beruang, landak, burung helang, kucing hutan, rusa dan ular sedang dikuarantin untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru di kawasan zoo itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Negeri Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata Zoo Bukit Takal, apabila siap sepenuhnya bakal menjadi antara 10 zoo yang terbaik di rantau ini dan keadaan hutan sekunder di kawasan pembangunan itu memberi kelebihan daripada segi persekitaran.

Tanpa menyebut kos untuk membuka zoo berkenaan, Ahmad berkata kerajaan negeri akan membeli binatang-binatang itu dari beberapa zoo tempatan dan luar negara.

“Kemungkinan besar, zoo di Bukit Takal akan menjadi kawasan pembiakan beberapa spesis binatang tempatan yang hampir pupus untuk dilepaskan kembali ke habitatnya atau dijual kepada zoo-zoo lain yang berminat,” katanya.

Beliau menjangkakan antara tarikan utama di zoo berkenaan ialah menaiki gajah mengelilingi kawasan zoo, harimau putih dan burung cenderawasih.

Ahmad berkata antara taman tema yang terdapat di zoo itu ialah Taman Herba, Taman Pokok Hutan, Taman Tropikal, Taman Cendawan, Taman Buah-buahan, Taman Orkid, Taman Bonsai dan Taman Akuatik.

Beliau berkata Bukit Takal dipilih kerana di kawasan itu sudah mempunyai kebun buah-buahan tempatan seperti duku, manggis, sentul, mangga dan tanaman kopi yang akan menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung.

Beberapa kemudahan awam akan disediakan seperti tram atau buggy, restoran, kawasan riadah serta kolam renang, katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewujudkan unit bergerak untuk memudahkan penduduk bandar raya ini melunaskan bayaran cukai pintu yang tertunggak melebihi RM50 juta sejak lebih 30 tahun lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim, berkata MBKT juga sedang mengenal pasti kawasan perumahan untuk memperkemaskan jadual bagi memudahkan unit bergerak itu melaksanakan tugas.

Katanya, menerusi unit bergerak yang baru ditubuhkan itu, MBKT mensasarkan mampu mengutip tunggakan hasil cukai pintu sebanyak RM3 juta setahun.

“Kita sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti pemilik kediaman serta bangunan termasuk premis milik kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri yang gagal menjelaskan tunggakan cukai pintu untuk memudahkan penghantaran borang notis,” katanya selepas majlis angkat sumpah ahli majlis mesyuarat MBKT, di sini, semalam.

Mat Razali berkata, pemilik bangunan dan kediaman yang menerima borang notis itu akan diberi peluang berbincang mengenai kaedah pembayaran termasuk menjelaskan bayaran secara ansuran.

“MBKT akan mengambil tindakan termasuk menyita bangunan dan kediaman termasuk premis milik kerajaan negeri atau anak syarikat kerajaan negeri jika gagal menjelaskan bayaran selepas menerima borang notis,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan pembangunan di kawasan MBKT, Mat Razali berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM19 juta untuk melaksanakan projek kemudahan asas membina ruang niaga serta melaksanakan program keceriaan dan kebersihan tahun ini.

Katanya, MBKT juga sedang melaksanakan fasa pertama projek Taman Panorama di Bukit Pak Apil membabitkan peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

“Selain kantin dan kawasan riadah, kita juga akan membina menara tinjau bagi memudahkan pengunjung melihat keseluruhan bandar Kuala Terengganu di Taman Panaroma,” katanya.

Read Full Post »