KUALA TERENGGANU 9 Feb. – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) meningkatkan lagi perkhidmatannya dengan menyediakan sebuah kenderaan pengendali kecemasan pelbagai guna (MRCV) untuk mengendalikan kes-kes kecemasan.
MRCV akan digunakan oleh pasukan tindakan cepat dalam keadaan-keadaan yang tidak memungkinkan kenderaan seperti ambulans digunakan seperti ketika bencana.
Kenderaan bernilai RM130,000 itu disumbangkan ExxonMobil Exploration Production (M) Sdn. Bhd. dan adalah yang pertama seumpamanya digunakan oleh hospital kerajaan di Terengganu dan di Malaysia.
Penasihat Perubatan dan Pengurus Kesihatan Pekerjaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil, Dr. Abu Hasan Samad menyerahkan kenderaan tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan pada satu majlis di HSNZ di sini hari ini.
Dr. Nordiyanah ketika ditemui selepas majlis itu berkata, MRCV merupakan kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai dan dilengkapi dengan peralatan perubatan dan komunikasi kecemasan.
Dengan adanya MRCV jelas beliau, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi tahap perkhidmatan kecemasan dan prarawatan hospital itu.
Dr. Abu Hasan pula berkata, sebagai sebuah syarikat minyak dan gas, ExxonMobil memang memahami kepentingan mengadakan sistem pengurusan kecemasan yang komprehensif.
Menurutnya, latihan dan teknologi yang sesuai membolehkan kakitangan hospital sentiasa bersedia untuk bertindak dengan cepat dan berkesan semasa menghadapi situasi kecemasan.
Katanya, ExxonMobil menyediakan peruntukan kira-kira RM2 juta setiap tahun untuk disalurkan dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan dan sebagainya di seluruh negara.
