![]() |
SETIU 4 Feb. (Utusan) – ”Kami bukan mahu Masjid Kristal, memadai sebuah masjid baru untuk kegunaan penduduk kampung”.
Itu adalah luahan beberapa penduduk di Kampung Fikri dekat sini yang mahu sebuah masjid baru dibina di kampung itu bagi menggantikan masjid lama yang dibina sejak 1962 dan kini telah usang.
Mereka mendakwa, kerajaan sewajarnya membina masjid baru memandangkan keadaan masjid sedia ada kini semakin uzur.
Dinding papan di masjid itu ada yang berlubang akibat dimakan anai-anai sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada jemaah.
Setiausaha Jawatankuasa Masjid Kampung Fikri, Norzeri Abdullah ketika ditemui berkata, pihaknya berasa malu terhadap orang luar yang menggunakan masjid itu memandangkan kedudukannya di tepi laluan utama ke Kampung Raja, Besut.
Menurutnya, boleh dikatakan setiap hari orang ramai singgah di masjid itu untuk solat serta menggunakan tandas.
”Ada di kalangan mereka yang bertanya tentang masjid ini dan sewajarnya kerajaan membina yang baru setanding dengan masjid kampung lain di daerah ini.
”Kalaulah kawasan ini tidak terletak di tepi jalan saya rasa tidak malu sangat,” katanya.
Norzeri yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu berkata, berikutan keadaan masjid itu, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan masjid baru secepat mungkin.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Tengku Ibrahim Chik, 78, berkata, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan serta keselesaan penduduk kampung yang mahu sebuah masjid baru untuk mereka.
Menurutnya, masjid sedia ada berusia 47 tahun bukan sahaja buruk tetapi ia juga tidak dilengkapi kemudahan lain seperti kelas untuk fardu ain.
”Adalah menjadi harapan kami terutama orang tua seperti saya yang mahukan masjid baru yang selesa untuk kemudahan penduduk kampung menjalankan pelbagai kegiatan keagamaan termasuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Noraini Ibrahim, 27, memberitahu, dengan pembinaan masjid baru itu dapat merancakkan projek pembangunan di kampung itu.
Katanya, apa yang diharapkan ialah dengan adanya masjid baru sedikit sebanyak dapat menarik golongan belia datang ke masjid.
Ini kerana, katanya, kebanyakan masjid baru yang dibina oleh kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk penganjuran program yang boleh memberi manfaat kepada mereka.
”Penduduk kampung bukan mahu kerajaan membina masjid yang canggih serta besar tetapi apa yang penting bagi kami ialah sebuah masjid baru yang dapat menampung jemaah yang lebih ramai,” katanya.