KUALA TERENGGANU, 31 Jan (Bernama) — Kolej Universiti TATI (TATiUC) akan menawarkan sembilan lagi program ijazah baru pada tahun ini termasuk satu program ijazah sarjana dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dalam bidang kejuteraan, teknologi, sains dan mekatronik di negara ini.
Rektor TATiUC Dr Mohd Rozilan Mamat berkata institusi itu akan menawarkan program Sarjana Teknologi Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekatronik) secara penyelidikan pada tahun ini di bawah kendalian Pusat Pengajian Ijazah Tinggi bagi menyokong keperluan tenaga kerja yang terlatih dan profesional dalam bidang itu.
“Pihak kita sedang menunggu surat kelulusan menjalankan program tersebut daripada Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Boling TATiUC bersama media di Terengganu Equestrian Resort (TeR) di sini hari ini.
Katanya lapan program ijazah sarjana muda baru yang akan mula ditawarkan pada bulan Julai ini pula ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) (Mekatronik), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Robotik dan Automasi), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Polimer.
Turut ditawarkan ialah Sarjana Muda Komputer Sains (Komputing Industri), Sarjana Muda Komputer Sains (Pengurusan Pengkalan Data), Sarjana Muda Komputer Sains dengan Pengurusan Perniagaan dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Rangkaian dan Sistem Keselamatan)
Katanya dengan penawaran program baru ijazah tersebut, TATiUC juga akan menambah lagi tenaga pengajarnya dalam bidang yang berkenaan termasuk dengan mengimport tenaga pengajar dari Yaman, Iraq serta India bagi mengajar dalam bidang pengilangan, elektronik dan kimia.
“Setakat ini kita telahpun mempunyai 108 pensyarah yang 65 peratus daripadanya mempunyai kelulusan ijazah sarjana dan penambahan pensyarah baru itu nanti akan menguatkan lagi kekuatan yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata TATiUC yang kini mempunyai 1,400 pelajar berhasrat untuk menjadi pusat kecemerlangan robotik, kejuruteraan kimia dan kejuruteraan pembuatan dan penawaran program baru itu diharap dapat menjadikan institusi berkenaan menjadi kolej universiti teknikal yang berkualiti di rantau ini.
— BERNAMA