MB dedah terima laporan bantuan diagih di kalangan kroni
KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan negeri sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini melakukan penyelewengan terutama membabitkan pengagihan bantuan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pihaknya melakukan siasatan terperinci setiap aduan diterima kerana ia berkemungkinan hanya spekulasi untuk mencemarkan imej Pengerusi JKKK.
“Saya juga menerima laporan ada Pengerusi JKKK memberi bantuan kepada ahli keluarga mereka yang terdiri daripada penyokong kuat parti pembangkang.
“Kami akan menyiasat secara keseluruhan dakwaan berkenaan bagi memastikan agihan bantuan disalurkan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA negeri di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, kelmarin.
Hadir sama Penasihat MCA, Tan Sri Lau Yin Pin; Pengerusi MCA negeri, Toh Chin Yaw; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mokhtar Nong; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Ahmad berkata, justeru Pengerusi JKKK perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kuasa mereka kerana ia akan memberikan kesan tidak baik kepada masyarakat setempat.
Mengulas dakwaan bahawa segelintir Pengerusi JKKK tidak membantu calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hingga mengakibatkan kerusi itu gagal dipertahankan, Ahmad berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kekalahan sebenar.
Katanya, beberapa tindakan akan diambil termasuk tidak menyambung perkhidmatan beberapa Pengerusi JKKK yang didapati memang tidak memainkan peranan mereka sepanjang tempoh berkempen.
Pada pilihan raya kecil 17 Januari lalu, calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut memperoleh 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, calon Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Farid (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi.
Leave a Reply