KUALA TERENGGANU, 27 Jan (Bernama) — Sebagai usaha melahirkan generasi nelayan moden di negara ini, Institut Perikanan Malaysia Chendering (IPMC) di sini menawarkan kursus bidang teknologi perikanan dan tangkapan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Melalui kursus itu, peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran termasuk menjalani kursus selama sebulan di perairan negara untuk mengalami sendiri selok-belok perikanan laut dalam.
Penolong Pegawai Laut (IPMC) Tengku Makhtar Raja Husein berkata kursus itu penting untuk membolehkan generasi pelapis nelayan mampu bersaing dalam industri perikanan yang semakin mencabar.
Langkah itu juga bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing dalam industri perikanan negara sekarang, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya kursus itu terbahagi kepada tiga tahap dengan tahap satu dan dua, masing-masing selama enam bulan manakala tahap tiga mengambil masa setahun.
Katanya pada Oktober tahun lepas, seramai 29 pelatih IPMC termasuk lima wanita telah belayar sejauh kira-kira 800 batu nautika merentasi samudera Selat Melaka bagi menjalani latihan sebagai nelayan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata kini terdapat seramai 24 lulusan SPM sedang mengikuti kursus itu bermula 11 Jan lepas.
Tengku Makhtar berkata selain itu IPMC juga menawarkan kursus pertanian, akuakultur dan penternakan haiwan.
— BERNAMA