Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 24th, 2009

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) — Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang kecewa dengan persembahan hambar pasukan Terengganu pada awal musim Liga Super, mengambil tindakan drastik menukar jurulatih pasukan itu berkuatkuasa serta merta.

Yang Dipertua PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata Terengganu akan menggunakan jurulatih import iaitu Kenneth Joseph Worden yang juga bekas jurulatih pasukan kebangsaan bagi menggantikan Mohamad Nik yang akan bertindak sebagai penolong jurulatih.

“Saya sungguh lega dan merasa amat gembira apabila Ken Worden bersetuju untuk datang membimbing pasukan Terengganu,” katanya selepas majlis minum petang bersama pengurusan, jurulatih, pemain bola sepak Liga Super Terengganu dengan wartawan di sini, Sabtu.

Turut hadir Ken Worden dan Mohamad Nik.

Che Mat berkata jurulatih itu akan berkhidmat di Terengganu selama satu tahun untuk mencapai sasaran pasukan itu memenangi satu daripada piala yang dipertandingkan — Piala Liga, Piala FA atau Piala Malaysia.

Terdahulu ketika berucap Che Mat memberi amaran keras untuk menamatkan kontrak pemain yang menunjukkan sikap tidak harmoni dalam pasukan.

“Saya dengar ada kumpulan-kumpulan pula dalam pasukan…kalau rasa tidak senang hati, sila tulis surat mohon berhenti, boleh cari pasukan lain,” katanya.

Che Mat berkata pihaknya tidak akan bersikap kenegerian atau memberi layanan yang berbeza kepada pemain.

“Tak ada anak tiri atau anak betul dalam hal ini, semuanya sama dan semuanya dilayan dengan baik dan adil,” katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

Istana Maziah

dipetik dari Laman Web Rasmi KDYMM Sultan Terengganu http://www.istanaterengganu.com

Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu.Terletak berhampiran Bukit Puteri, kira-kira 200 meter dari gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.

Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10.00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881 – 1918 ), manakala catatan Dato’ Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.

Istana ini dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 ( 7 Zulhijjah 1286 ). Tokoh yang diberi tanggunjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah saudara ipar Sultan Zainal Abidin III iaitu Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Selalin daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyambung dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat) dan juga Dato’ Mata-Mata. Di samping itu tugas mendapatkan kayu, diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu-bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir, garam, putih telur dan manisan.

Kira-kira 20 orang tukang ( Melayu dan Cina) terlibat dalam pembinaan istana ini. Masalah kewangan pada ketika menyebabkan pembinaan istana ini tertangguh. Walaupun begitu, istana ini siap dan upacara ‘naik istana’ diadakan pada 7 Ogos 1903 ( 14 Jamadil Awal 1321 ). Tidak berapa lama selepas istana ini siap, Tengku Embong Musa, Ketua Jabatan Kerja Raya menambah lantai di bahagian anjung istana yang pada ketika itu di bawah anjung istana ini boleh dilalui kereta. Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi di masa pemerintahan Sultan Nasiruddin Shah ( 1945 – 1979 ). Bilik di tingkat bawah terletak Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan Singgahsana dipindahkan di tingkat atas. Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh. Selain itu bilik di tingkat sebelah atas matahari naiktelah dirobohkan untuk ditempatkan Singgahsana. Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana pula ditempatkan di tingkat atas bangunan baru istana ini. Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.

Read Full Post »