Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 23rd, 2009

KUALA TERENGGANU 22 Jan. (Utusan) – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan memperkenalkan program Patri Kasih di Bulan Madu atau 2nd honeymoon‘ khusus untuk pasangan di negeri ini yang baru melangsungkan perkahwinan bermula Februari ini.

Selain memberi peluang kali kedua kepada pasangan untuk berbulan madu di lokasi terpilih, mereka bakal didedahkan dengan pelbagai maklumat dan ilmu pengetahuan dalam menempuh cabaran alam perkahwinan.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, modul program menekankan tentang hubungan intim dan berbentuk 2nd honeymoon ke arah membentuk pengurusan emosi dan kasih sayang antara pasangan suami isteri.

Beliau berkata, selama berbulan madu mereka disediakan panduan, petua dan kemahiran ke arah persediaan mental dan pembinaan sikap yang positif.

Katanya, golongan sasar yang diberi tumpuan ialah pasangan yang telah berkahwin dalam tempoh setahun hingga lima tahun.

”Ini penting kerana YPKT menyedari berlakunya peningkatan perceraian akhir-akhir ini ialah di kalangan mereka yang berada pada usia awal perkahwinan.

”Buat permulaan seramai 1,600 pasangan dipilih mengikuti program yang dijangka diadakan di beberapa kawasan peranginan,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya hari ini.

Mengulas lanjut Mohd. Shafaruddin berkata, mereka juga bakal didedahkan pengisian aspek kesedaran tanggungjawab, panduan keibubapaan, pengurusan keluarga dan teknik.

Katanya, penganjur bersama program ini ialah Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, YPKT, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPLKN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

”Program ini akan dikendalikan pihak yang berpengalaman dan pakar kekeluargaan bagi memastikan ia berjaya,” katanya.

Mengulas lanjut dengan modul program, Mohd. Shafaruddin berkata, antara modul ditetapkan ialah konsep dan tujuan perkahwinan, analisis kendiri dan pengurusan kasih sayang.

Katanya, dalam aspek pengurusan kasih sayang, perkara diberikan tumpuan ialah mengenali diri sendiri dan pasangan, bermaaf-maafan, emosi stabil dan hubungan mesra.

Advertisement

Read Full Post »