Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 15th, 2009

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) — Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Mat Razali Kassim menarik diri sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang juga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, dilantik menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai Pegawai Pengurus berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR telah menerima surat penarikan diri Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

“SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas berkenaan dengannya dan setelah memperhalusi daripada pelbagai sudut permohonan penarikan diri Datuk Bandar itu sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

“SPR bersetuju menerima penarikan diri Datuk Mat Razali Kassim sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil P36 Kuala Terengganu berkuatkuasa serta merta,” katanya.

Pelantikan Wan Mustafa adalah selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 3(c) dan 5(1)(a) Akta Pilihan Raya 1958, katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) — Setelah berkempen secara mempertahankan diri, kini Barisan Nasional (BN) menggiatkan kempennya secara menyerang, dengan meningkatkan serangan politik secara besar-besaran terhadap PAS.

“Pertempuran” untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kini dilihat seimbang dengan kedua-dua calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan PAS Mohd Abdul Wahid Endut berusaha menemui pengundi yang mereka percaya mereka masih boleh menukar fikirannya.

Pada ceramah di kawasan Melayu, BN menyifatkan PAS sebagai tidak cekap, sementara bagi kaum Cina, PAS digambarkan sebagai “pelampau”.

Sejak Ahad, jentera BN telah memasang banyak sepanduk dan mengedarkan risalah untuk mengingatkan pengundi mengenai apa yang mereka dakwa sebagai kegagalan PAS semasa pentadbirannya di negeri itu antara 1999 dan 2004.

“PAS Kluk Klek,” bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh mengulangi laungannya dalam dialek tempatan di setiap ceramah, menyebabkan PAS sering menukar dasarnya untuk disesuaikan dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR). Ada juga sepanduk dengan slogan ‘Dok Rok Chetong’ bertujuan menggambarkan PAS sebagai lemah kerana tunduk kepada DAP mengenai isu hudud.

Sementara itu, MCA mengedarkan risalah dan terbitan iklan dalam akhbar Cina untuk mengingatkan masyarakat tersebut mengenai pencapaian lepas calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

“Semasa beliau menjadi exco negeri, beliau penuh dengan kontroversi. Beliau cuba mengambil alih Tokong Tian Hou dan perancang pelaksanaan undang-undang hudud,” menurut satu iklan dalam akhbar Cina.

Iklan itu juga menyatakan bahawa PAS telah menggugurkan hasratnya untuk mewujudkan sebuah negara kebajikan dan sebaliknya bercakap berulang-ulang mengenai objektifnya bagi menubuhkan sebuah negeri Islam.

Setiausaha agung MCA Datuk Wong Fook Meng berkata mereka memutuskan untuk membuat iklan bagi menerangkan kepada pengundi betapa pentingnya memilih calon BN sebagai wakil mereka.

“Ini bagi membolehkan pengundi mendapat gambaran jelas mengenai apa yang kerajaan telah lakukan untuk Kuala Terengganu dan masyarakat Cina di negeri ini,” kata beliau.

Ia juga mengkritik rakan PAS dalam PR — DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana menanamkan kebencian dan kemarahan terhadap kerajaan di kalangan orang ramai.

Di pihak sebelah sana pula, pembangkang juga mengukuhkan kempennya dengan lebih ramai pemimpin PR memberikan ceramah mengenai isu nasional pada setiap ceramah.

Antara mereka ialah menteri besar dan ketua menteri daripada PR di negeri yang dikuasainya — Datuk Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Perak), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Selangor), Datuk Azizan Abdul Razak (Kedah) dan Lim Guan Eng (Pulau Pinang).

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan penulis laman blog Raja Petra Kamarudin juga hadir di sini memberikan ceramah pada peringkat akhir kempen.

“Pada malam tadi sahaja, kita ada hampir 21 ceramah. Ceramah besar seperti ini dan kempen rumah-ke-rumah akan dipertingkatkan sehingga ke saat akhir,” kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali kepada Bernama.

“Dalam aspek tahap sokongan, ia adalah sengit,” tambah beliau.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua berkata pengundi di Kuala Terengganu hendaklah memilih calon PAS untuk memberikan satu lagi mesej kuat kepada BN.

“Kita merasakan kita ada kelebihan sedikit walaupun kini ia nampaknya seperti 50-50,” kata beliau.

Kurang 80,000 pengundi akan keluar mengundi Sabtu ini setelah 1,302 pengundi pos mengundi Isnin lepas.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) — Kerajaan Terengganu akan membina tiga buah masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata masjid pertama yang akan dibina ialah Masjid Kampung Kubang Ikan di sini berharga RM4.5 juta manakala RM1 juta lagi bagi kerja-kerja pembinaan tapak masjid berkenaan yang mampu menampung 1,000 jemaah.

“Dua lagi masjid iaitu Masjid Permint Jaya yang akan dibina pertengahan tahun ini dan Masjid Kampung Gong Tok Nasik, yang masih mencari tapak yang sesuai.

“Bagaimanapun perbelanjaan bagi kedua-dua masjid berkenaan masih belum dipastikan lagi kerana ia bergantung kepada keperluan setempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis letak batu asas Masjid Kampung Kubang Ikan, Cendering di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis itu calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Ahmad berkata kerajaan akan terus membina masjid-masjid di seluruh negeri itu bagi memberi kemudahan dan keselesaan rakyat beribadat.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh)– Isu royalti Petroleum yang didakwa oleh Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan kembali kepada kerajaan negeri Terengganu masih ‘samar-samar’ dan tidak jelas.

PAS Terengganu yang pernah menerajui kerajaan negeri antara tahun 1999 hingga 2004 pernah menghadapi saat getir apabila hak mendapat royalty disekat serta ‘dirampas’ oleh kerajaan pusat.

Berikutan itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS ketika itu bertindak menyaman pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan kerana didakwa melanggar perjanjian serta Akta Petroleum 1974.

Kini, pilihan raya kecil di Parlimen Kuala Terengganu telah membangkitkan semula isu tersebut apabila Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyerahkan sejumlah wang RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Dato� Ahmad Said pada akhir Disember 2008 lalu.

Sehubungan itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan menganjurkan satu Majlis Debat Perdana bertajuk ‘Royalti: Antara Hak dan Maruah Rakyat Terengganu’ yang akan diadakan pada hari ini 2009 (Khamis) jam 8.00 malam di Dewan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, dekat sini.

Antara ahli panel yang dicadangkan oleh Mampat iaitu Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Manakala, pengerusi Debat Perdana itu akan dikendalikan oleh seorang Dekan Universiti Malaya, Profesor Dato’ Paduka Dr Muhammad Bakar.

Persetujuan rasmi serta kesanggupan semua pihak ahli panel dan pengerusi debat telah diperolehi penganjurnya (Mampat) kecuali ahli panel dari Barisan Nasional (BN) yang menurut laporan tidak rasmi sebuah media tempatan telah menolak pelawaan debat tersebut.

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata rasional debat royalti itu diadakan bagi memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada bakal Ahli Parlimen menjelaskan pendirian dan komitmen masing-masing terhadap isu tersebut.

“Kita (Mampat) mahu isu royalti terus dibela kerana ia (royalti) adalah hak rakyat dan kedua-dua pihak boleh berhujah untuk menjelaskan kekeliruan kepada rakyat,” ujarnya ketika ditemui Harakah, hari ini.

Katanya, agenda ‘Debat Perdana’ yang dicadangkan itu kini telah menjadi pentas baru bagi negara-negara maju menampilkan calon kepimpinan yang bakal bertanding.

Menurutnya, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi melihat serta menilai personaliti calon-calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil ini. – azm _

Read Full Post »