Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 14th, 2009

KUALA TERENGGANU, 14 Jan (Bernama) — Selepas seminggu berkempen dan menjelang pengundian Sabtu ini, petugas parti-parti yang bertanding mendapati belum ada petunjuk jelas mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Ini kerana mereka berdepan dengan pengundi yang “agak tidak menentu dan enggan bercerita sangat” mengenai siapa antara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari Barisan Nasional, Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS dan Azharuddin Mamat, calon Bebas, yang menjadi pilihan mereka.

“Kebanyakan pengundi sekadar berjabat tangan, senyum dan berdiam apabila kita cuba menilai kecenderungan mereka,” kata seorang pekerja parti.

Penganalisis politik juga masih kebingungan tetapi yang pasti ialah BN dan PAS sudah bersedia mengharungi persaingan yang sengit.

Yang peliknya, walaupun dalam keadaan demikian, pilihan raya kecil ini dianggap sepi dan aman.

Penduduk tempatan menjalani kehidupan harian seperti biasa manakala peniaga-peniaga gembira dengan kehadiran ribuan pengunjung luar.

Bagi 300 petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil ini, kempen yang suram sejak hari penamaan calon 6 Jan lepas itu, bermakna mereka ketandusan berita panas manakala 6,000 anggota polis pula mungkin merasa lega.

Kecuali perang poster di bandar ini, ketiadaan isu besar adalah satu daripada sebab kenapa pilihan raya kecil ini dianggap sebagai tenang.

Kempen BN, yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, lebih tertumpu kepada pendekatan bersemuka dengan rakyat.

“Tak perlu adakan terlalu banyak ceramah besar kerana penduduk di sini sudah tidak lagi berminat,” kata seorang petugas BN kepada Bernama.

Ceramah pertama pembangkang diadakan pada hari penamaan calon dengan memaparkan ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik abdul Aziz Nik Mat.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata setakat ini tidak ada sebarang laporan dibuat, yang menunjukkan bahawa pilihan raya kecil itu berjalan lancar.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata bahawa sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lepas, SPR telah mengambil beberapa tindakan untuk meningkatkan ketelusan.

Antara langkah yang diambil ialah membenarkan ejen calon untuk duduk bersama ketua tempat undi pos bagi memantau proses berkenaan.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi.

Sebelum ini, kerusi itu disandang oleh Datuk Razali Ismail dari BN. Beliau meninggal dunia ketika bermain badminton pada 28 Nov tahun lepas.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA LUMPUR (Utusan) 13 Jan. – Nama bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail akan diabadikan di dua buah institusi pendidikan di Kuala Terengganu bermula Jumaat ini bagi mengenang jasa Allahyarham membangunkan bidang pendidikan negara.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua institusi yang terpilih ialah Institut Perguruan Kuala Terengganu (IPKT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar.

Kata beliau, kedua-duanya akan dikenali sebagai Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail dan SMK Dato’ Razali Ismail.

“Penggunaan nama Allahyarham juga telah dipersetujui oleh ahli keluarganya.

“Majlis pemasyhuran nama Allahyarham di dua institusi pendidikan itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini,” kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Razali yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.

Hishammuddin berkata, pihaknya memutuskan penggunaan nama Allahyarham di SMK Bandar selepas mempertimbangkan cadangan dan permohonan pelbagai pihak yang dikemukakan sejak sebulan lalu.

Katanya, penggunaan nama allahyarham di IPKT pula adalah keputusan kementerian yang berpendapat legasi dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan peringkat nasional wajar mendapat pengiktirafan yang tinggi.

“Beliau mula berkhidmat sebagai seorang guru pada 16 Januari 1974 dan kemudiannya memegang beberapa jawatan penting seperti Pengarah Maktab Perguruan, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan berakhir sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.

“Atas peranan penting dan sumbangan besar beliau dalam sejarah pendidikan negara khususnya dalam pendidikan guru, Kementerian Pelajaran dengan penuh bangga dan penghormatan memutuskan bahawa IPKT dinamakan sebagai Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menyifatkan Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah (MPPD) Kuala Terengganu yang dihadiri beliau petang ini sebagai sesuatu yang istimewa kerana ia adalah gagasan yang dekat dengan hati Razali.

Katanya, allahyarham bukan sahaja salah seorang yang terlibat dalam idea penubuhan MPPD di seluruh negara, bahkan begitu komited memastikan ia dilaksanakan pada kadar segera.

“Saya percaya penubuhan MPPD dalam tempoh masa yang singkat sebelum allahyarham kembali ke rahmatullah merupakan ketentuan Ilahi yang mempunyai hikmah tersendiri,” katanya

Read Full Post »