Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 13th, 2009

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) — Hujan dijangka turun pada Sabtu ini, di mana lebih 80,000 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dijadual membuang undi mereka bagi memilih wakil di Parlimen.

Berita ini tidak begitu baik bagi parti-parti yang bertanding kerana ini mungkin menjejaskan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi.

“Kita menghadapi pertandingan sengit, tanpa diperkatakan lagi betapa pentingnya untuk kita memastikan jumlah yang ramai untuk keluar mengundi. Tetapi ini sudah pasti menjejaskan jumlah mereka yang keluar mengundi jika hujan,” kata seorang pekerja bilik operasi Barisan Nasional (BN) di Pasir Panjang, di sini.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi, hujan dijangka pada petang sementara cuaca diramal mendung pada pagi.

Hanya mahu dikenali sebagai Azahara, kebimbangan beliau bukan tanpa asas terutamanya pengundi atas pagar sering tidak peduli bagi sesiapa pun mereka undi yang dianggapnya sebagai tidak penting.

“Bagi pengundi kumpulan ini, mereka tidak peduli siapa yang akan mewakilinya walaupun sedikit sebab, dalam kes ini, hujan, sudah cukup untuk menghalang mereka daripada meninggalkan rumahnya,” jelas beliau.

Sentimen beliau dikongsi pembangkang, yang menegaskan jentera pilihan raya perlu memastikan pengundi atas pagar akan keluar mengundi Sabtu ini.

“Kita tahu pengundi kita akan keluar. Ia hanya pengundi atas pagar yang membimbangkan kita dan sudah tentu dalam pertandingan sengit ini, kita perlukan mereka,” kata seorang pemerhati dalaman parti yang bersetuju bahawa hujan mungkin bermakna mereka tinggal di rumah untuk pengundi atas pagar yang mewakili kira-kira 20 peratus daripada 80,229 pengundi.

Keyakinan yang berbeza, cakap-cakap mengatakan bahawa pengundi pembangkang telah berpecah kerana ramai yang tidak berpuashati dengan calon pilihan.

Sambil mengakui bahawa PAS ada sedikit masalah dalam meyakinkan pengundi, terutamanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menerima calonnya Mohd Abdul Wahid Endut, beliau mendakwa bahawa perkara itu telah dilupakan.

Banyak diperkatakan bahawa sesetengah pengundi pembangkang mungkin melupakan sama sekali untuk mengundi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa satu pungutan suara dibuat oleh PAS di tiga kawasan pilihan raya negerinya, pengundi meminati Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sebagai calon mereka, tetapi parti itu mencalonkan ADUN Wakaf Mempelam bagi lima penggal Mohd Abdul Wahid Endut bertanding menentang calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Penganalisis politik percaya bahawa pilihan raya kecil ini sengit kerana parti-parti yang bertanding cuba menarik pengundi Cina dan atas pagar.

Pada pilihan raya 8 Mac lepas, kira-kira 80 peratus daripada 80,325 pengundi di kawasan pilihan raya itu keluar mengundi.

Kedua-dua parti yang bertanding bersetuju bahawa penduduk tempatan kini tidak lagi ke tempat ceramah.

“Jika anda memandu di sekitar kawasan pilihan raya itu pada waktu malam, anda boleh lihat bahawa jumlah mereka yang hadir pada ceramah ini tidak ramai, tak meriah,” kata Azhar menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang hadir pada ceramah pembangkang ialah orang luar.

“Mereka dari kawasan pilihan raya jiran. Jika mereka dengar ada pemimpin tinggi datang ke bandar ini, mereka akan hadir untuk dengar ceramah,” kata beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Wan Abdul Muttalib Embong bersetuju bahawa pilihan raya kecil ini, orang kurang ghairah untuk datang mendengar ceramah.

“Tidak seperti mereka di pantai Barat, orang di sini lambat untuk bergerak,” kata beliau.

Bagaimanapun sesetengah mengatakan bahawa penduduk tempatan mula merasa bosan mendengar ceramah kerana penceramah sering bercakap mengenai isu-isu lama.

“Saya lebih suka tinggal di rumah, tonton TV daripada menghabiskan masa dengar retorik. Malahan sering hujan dan esok satu hari bekerja lagi,” kata seorang lelaki berusia 30-an, sementara sahabatnya lebih berminat untuk mendapatkan maklumat daripada internet dan portal berita.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) — “Pakat mari ramai-ramai” (datanglah beramai-ramai), kata Mohd Fairus Lizam Mohd Zaid, mengajak pengunjung menghayati keunikan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man di sini.

Mohd Fairus Lizam, 29, berkata beliau sendiri mulanya keberatan untuk berkunjung kerana kesibukan kerja, tetapi akhirnya “tebeng ke diri” (memaksa diri) untuk ke sana selepas beberapa kali dipujuk isterinya.

Teryata, katanya, ia menjadi satu pengalaman yang menakjubkan dan membuka minda terhadap ketamadunan Islam.

“Ia merupakan tempat yang menarik untuk dilawati kerana banyak monumen sejarah dunia Islam terdapat di sini, lagipun kalau kita nak pergi sendiri melawat tempat-tempat asalnya, kita tidak mampu,” katanya.

Taman itu terletak di sebuah pulau kecil di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong di sini yang terkenal dengan industri keropok lekor.

Ia menempatkan 21 monumen senibina tamadun Islam seperti Kubah As Sakhra di Palestin, Masjidil Haram (Arab Saudi), Masjid Al-Hambra Citadel (Sepanyol), Taj Mahal (India), Menara Kalyan (Uzbekistan), Masjid Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Mesir), Masjid Qairawan (Tunisia), Masjid Allepo Citadel (Syria) dan Masjid Kul Syarif (Russia).

Selain itu, taman berkenaan turut menempatkan pusat konvensyen serta Masjid Kristal yang menjadi kontroversi semasa kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Tetapi bagi Mohd Fairus Lizam, TTI bukan sekadar tempat riadah bagi keluarga malah berfaedah kepada generasi muda terutama untuk mengetahui keagungan tamadun Islam.

Beliau yang berasal dari Ajil dekat sini, berkata jika dianjurkan program menarik sepanjang tahun, tidak mustahil TTI dapat mengerakkan industri pelancongan Terengganu yang sekaligus mencambahkan industri lain untuk manfaat penduduk setempat.

Pandangan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu diakui Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Malaysia Terengganu, Shahrir Naelis Amir yang menjangkakan sektor perhotelan khususnya di bandaraya Kuala Terengganu akan mengalami pertumbuhan lebih pesat tahun ini.

Beliau berkata pertumbuhan itu didorong oleh penambahan produk pelancongan yang mampu dipakejkan oleh pengusaha hotel di negeri itu.

Sebagai contoh, beliau yang juga Pengurus Felda Residence berkata pihaknya akan mengeluarkan pakej “Kebudayaan Islam di Terengganu” yang merangkumi kunjungan ke TTI dan Masjid Kristal selain budaya masyarakat setempat khususnya kepada pelancong Islam Asia dan Eropah.

Beliau berkata peratusan penginapan di hotel dijangka meningkat 72 hingga 75 peratus tahun ini berbanding 68 peratus tahun lepas.

Purata bermalam pelancong dijangka turut meningkat kepada 3.5 malam bagi pelancong domestik sementara 5 malam bagi pelancong asing berbanding 3.1 (domestik) dan 4.6 (asing) pada 2008.

Pengarah Tourism Terengganu Suhaimi Abu Hassan Shari berkata TTI seluas 23 hektar itu telah menarik 1.6 juta pengunjung sejak ia dibuka Februari tahun lepas.

Beliau berkata perkembangan itu dilihat menarik pengusaha hotel dan berdasarkan maklum balas yang diterimanya, 11 lagi hotel termasuk yang bertaraf dua hingga tiga bintang akan beroperasi menjelang akhir tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan hotel di Terengganu ialah 241.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam hotel akan dibina di bandaraya Kuala Terengganu yang setakat ini mempunyai 52 hotel termasuk hotel bajet. Pada masa ini terdapat 230 hotel di seluruh negeri ini dengan 7,813 bilik.

Pembinaan hotel-hotel berkenaan bukan hanya mampu menambah 3,379 bilik bagi penginapan pelancong malah memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik, hampir 600,000 pelancong dalam dan luar negara menginap di hotel-hotel seluruh negeri itu sepanjang Januari hingga Jun tahun lepas.

Jumlah itu meningkat berbanding hampir 500,000 pelancong dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Meskipun menjadi bahan kontroversi, kunjungan ke Kuala Terengganu yang kini digelar bandaraya warisan pesisir air menjadi tidak lengkap jika tidak ke Masjid Kristal.

— BERNAMA

Read Full Post »