Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 11th, 2009

[Harakah] KESILAPAN besar Umno ialah dengan meletakkan Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi calon Barisan Nasional untuk mempertahankan kerusi Allahyarham Razali Ismail.

Silap bukan kerana Wan Farid calon pilihan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang tidak diterima kumpulan TPM, Mohd Najib Abdul Razak.

Walaupun ada cerita-cerita orang Umno, Najib lebih suka jika Roslan Awang Chik, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia menjadi calon.

Wan Farid dan Roslan berseteru. Roslan yang dikenali lebih rapat dengan TPM sebelum ini adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang ditewaskan oleh Wan Farid ketika menjadi Setiausaha Politik Abdullah beberapa tahun lepas.

Perseteruan ini bukannya persepsi. Perseteruan ini adalah realiti yang tidak dapat ditolak Umno, akibat perpecahan dalaman yang serius. Perseteruan yang berpanjangan ini merupakan kesilapan pertama Umno.

Sehingga ada orang-orang Umno tertentu, sudah menyatakan sokongan dan kesediaan untuk mengundi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut secara diam-diam.

Hari ini Umno-BN yang meletakkan Wan Farid sebagai pengganti Razali, berkempen dengan memuji kehebatan serta jasa-jasa bekas Ahli Parlimen itu.

Rakyat di luar Terengganu boleh dibohongi. Tetapi orang-orang Umno dan rakyat Terengganu sendiri menyaksikan bagaimana ketika hayat Razali, beliau diketepikan dan dikalahkan oleh orang-orang Wan Farid dalam pemilihan bahagian.

Bagaimana mungkin Wan Farid atau Umno KT, boleh menjaja beliau sebagai kesinambungan legasi Razali, jika allahyarham bekas timbalan menteri itu langsung tidak dipedulikan ketika hayatnya?

Kesilapan kedua ialah soal personaliti Wan Farid. Bukan soal hendak dibahaskan dia orang baik atau jahat. Bukan juga nak dibangkitkan kegemarannya berkaraoke.

Masalahnya ialah beliau tidak dilihat mewakili golongan marhain dan golongan miskin bagi negeri Terengganu, yang sentiasa terletak dalam kelompok negeri-negeri termiskin di Malaysia.

Masalahnya bukan pada rakyat sahaja. Ada kalangan orang-orang Umno sendiri yang mendakwa Wan Farid jenis ‘hidung tinggi’. Barangkali beliau tidak begitu, mungkin pada raut wajahnya kelihatan begitu tetapi hatinya tidak.

Soalnya perkara ini bukan persepsi atau ia menjadi bahan serangan kempen PAS untuk memburuk-burukkan personaliti lawan.

Ianya adalah hakikat yang berlaku, wujud dalam Umno sendiri. Sehingga ada kalangan Umno yang mendakwa, jika pun keluarga Wan Farid membuat kenduri, beliau lebih mengutamakan kawan-kawan di KL daripada orang Terengganu sendiri. Itu cerita orang Umno, entah betul entah tidak.

Tetapi, jika TPM sendiri yang risau dengan personaliti calon BN ini, dan meminta beliau lebih tersenyum kerana raut wajahnya yang serius berbanding Abdul Wahid, maka ada banyak perkara yang ‘tidak kena’ kepada calon BN itu.

Kesilapan ketiga ialah isu penguasaan kekayaan negara, sama ada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dan penggunaan wang royalti yang dikaitkan dengan Wan Farid serta Idris Jusoh dan anggota keluarga mereka.

Orang-orang Umno ramai yang tidak berpuashati dengan penguasaan kedua-dua mereka kepada hasil kekayaan negeri. Penglibatan abang calon BN iaitu bekas Adun Ladang, Wan Hisham Wan Salleh dalam projek besar Monsoon Cup diratib dibibir orang Umno.

Kedua-duanya Wan Farid dan Idris dikatakan tidak disenangi kumpulan Menteri Besar, Ahmad Said.

Kedua-dua mereka adalah kroni rapat menantu PM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Patrick Lim yang dikenali sebagai Patrick Badawi.

Ketiga-tiga isu ini adalah isu besar kepada Umno. Ianya bukan rahsia dan amat diketahui oleh rakyat, khususnya pengundi-pengundi di KT.

Hakikat daripada ini menyebabkan, BN menjadi terlalu defensif. BN tidak mampu lagi menjual idea pembangunan.

Mereka terpaksa menjawab isu-isu ini sebelum rakyat menjatuhkan hukuman terhadap BN.

Bagaimanapun di kalangan BN juga sedar bahawa tidak mungkin dalam tempoh seminggu dua ini semuanya dapat di atasi.

Bagaimana mungkin calon BN yang sudah lama dikenali termasuk dalam golongan elitis yang tidak mesra rakyat, boleh mengubah sikapnya dalam tempoh dua minggu.

Bagaimana mungkin seseorang yang sifatnya susah untuk ‘manis muka’ boleh diterima rakyat hanya selepas menjadi seperti ‘badut sarkas’ dalam tempoh dua minggu sahaja?

Hakikatnya, angin perubahan rakyat selepas PRU Mac 2008 sudah tidak dapat lagi dibendung. Umno sudah semakin tidak relevan dan BN semakin tidak diterima rakyat.

Implikasi kekalahan Wan Farid bukan setakat beliau hilang jawatan timbalan menteri, senator atau setiausaha politik, ia adalah signal bahawa rakyat terus menolak legasi Abdullah dan tidak menerima kepimpinan yang bakal diwarisi Najib. – mks. _

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) — Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT 2) bernilai RM3.7 bilion yang dijangka siap pada Mei 2011, akan memacu perkembangan ekonomi negeri Terengganu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata projek itu yang dimulakan secara berperingkat mulai Mac 2006 kini 41 peratus siap.

Menurut beliau, projek itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM8.1 bilion yang diberikan kerajaan pusat untuk Terengganu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Selain memberi kemudahan jalan yang lebih selesa, lebuh raya ini antara lain akan dapat merancakkan ekonomi dan industri utama dan juga hiliran tempatan.

“Ia juga akan bertindak sebagai pemangkin kemajuan di negeri Terengganu seiring dengan Pembangunan Koridor Pantai Timur, serta meningkatan taraf sosioekonomi, pembukaan bandar-bandar baru, pertumbuhan industri kecil dan sederhana dan mengembangkan industri pelancongan,” katanya pada sidang media di sini, Ahad.

Beliau berkata projek infrastruktur itu menggunakan khidmat kontraktor bumiputera menerusi tender terbuka dan turut menyediakan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

Mohd Zin berkata kerajaan belum memutuskan sama ada akan mengenakan tol kerana masih mengkaji aliran trafik di lebuh raya itu.

Katanya sekiranya tol dikenakan, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan membebankan pengguna.

Katanya kerajaan masih dalam pertimbangan sama ada akan meneruskan projek berkenaan ke fasa ketiga.

“Perkara itu masih lagi dalam penelitian, kalau ada pun, ia mungkin dilakukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya tol dikenakan, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan membebankan pengguna.

Mohd Zin berkata selain LPT 2, sebanyak 365 projek pembangunan telah dirancang untuk negeri Terengganu di bawah RMK-9, dengan 131 daripadanya masih di peringkat prapembinaan, 163 sedang dalam pembinaan dan 71 projek telah siap dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya.

“Bagi tempoh 2006 hingga tahun lalu, Terengganu telah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM2.53 bilion. Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.4 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek yang telah dirancang, manakala RM2.4 bilion lagi akan diterima untuk tempoh dua tahun lagi dalam RMK-9,” katanya.

Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa projek yang diumumkan itu adalah ‘projek pilihan raya’ kerajaan di Terengganu kerana adanya pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan ini.

“Projek ini bukan projek yang dirancang semalaman.

Ia telah dirancang sejak 2006, bagaimana pula boleh timbul kononnya ini projek untuk pilihan raya.

“Tidak ada projek besar yang kita boleh rancang dan laksanakan semalaman. Dakwaan seperti itu tidak masuk akal dan merupakan tindakan terdesak pembangkang untuk meracuni fikiran rakyat,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) — “Mana dia, mana dia? Tu ho (Itu dia). Macang dalang TV ek. Memang smart orangnya,” kedengaran satu suara daripada sekumpulan wanita yang berdiri di tepi jalan yang membalas lambaian Datuk Seri Najib Tun Razak, di sebuah kampung di sini baru-baru ini.

Perbualan mengenai kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya menunaikan solat Jumaat dan jamuan rakyat di Kampung Gong Tok Nasek itu terus kedengaran sekalipun kelibat kenderaan yang membawa pemimpin No. 2 negara itu telah lama hilang dari pandangan.

“Sekali-sekala tengok orang besor (pemimpin) turung, kita pong nok tengok jugok. Selama ni dok tengok dalang (dalam) TV je,” kata salah seorang daripada wanita itu ketika dihampiri Bernama.

Wanita berusia 40-an itu jelas teruja dapat melihat pemimpin negara tersebut yang disifatkannya sebagai ‘tidak kekok makan bersama orang kampung’.

“Ramoh (ramah) dok (tak) macang setengoh-setengoh tu, nampok dok berapa selesa duduk tengah panah (panas) macang ni. Eh, ni nok masuk dalang surat kabor ke?,” katanya apabila melihat penulis mengeluarkan buku nota.

Tersenyum, beliau yang hanya mahu dipanggil Kak Gayah berkata memang seronok melihat begitu ramai pemimpin baik daripada kerajaan mahupun pembangkang melawat kampungnya.

“Macang biasa lah, ada hok ramoh macang Datuk Najib tu, ada jugok ja’lang (berjalan) dok (tak) tengok orang, senyung macang (macam) takmboh (tak nak) senyung,” katanya.

Namun ketika ditanya siapa yang akan diundinya pada hari pemilihan 17 Jan ini, ibu kepada lima anak yang sebelum itu galak bercerita mengenai pemimpin politik yang pernah dilihat secara dekat hanya menjawab: “Tengok la macang mana.”

Kak Gayah adalah seorang daripada 80,229 pengundi bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dan jika dinilai daripada jawapannya itu beliau mungkin termasuk dalam golongan ‘pengundi atas pagar’, yang merangkumi lebih 20 peratus daripada jumlah pengundi.

Selain pengundi Cina, ramai pemerhati politik berpendapat golongan ini akan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon dan mampu membuat kejutan.

“Biasanya golongan ini memberi undi simpati dan lazim berlaku pada saat-saat akhir,” kata Prof. Dr Ahmad Atory Hussain, pensyarah Dasar Awam dan Politik Malaysia di Universiti Sains Malaysia.

Justeru kata pemerhati politik itu, parti-parti yang bertanding perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan suasana masyarakat setempat untuk memikat pengundi ‘atas pagar’ ini.

“Pada saya caranya mudah saja sebab kita orang Melayu ni adalah masyarakat feudal dan bila ada yang datang merayu berulang kali, mereka akan berasa kasihan. Yang penting kena ada sikap merendah diri,” katanya.

Ini kerana katanya, pengundi atas pagar lebih mementingkan karektor calon berbanding parti, selain lebih cenderung menggunakan pendekatan `mencuba’ dalam membuat pilihan mereka.

“Faktor calon ini penting. Kalau mereka tak suka calon itu mereka tak akan peduli,” katanya.

Pandangan Ahmad Atory itu turut dicerminkan oleh seorang pemerhati tempatan yang berkata pengundi atas pagar khususnya di Terengganu tidak memikirkan kesan jangka panjang, sebaliknya lebih gemar mengikut arus.

“Kalau dia rasa ramai yang akan undi calon A, maka dia akan undi calon A dan begitulah seterusnya. Selain itu golongan ini juga mudah termakan rayuan, kalau calon dan yang berkempen pandai mengambil hati mereka, maka mereka akan sokong calon tersebut.

“Ramai juga antara mereka ini yang tak keluar mengundi ataupun sengaja merosakkan undi jika mereka rasa mereka tak akan dapat apa-apa daripada calon yang bertanding. Jadi memang sukar untuk jangka pilihan mereka,” katanya yang mahu identitinya dirahsiakan.

Kata-kata beliau itu mungkin ada kebenarannya memandangkan sejak tahun 1980an, kerusi Parlimen itu pernah disandang oleh Barisan Nasional (BN), Semangat 46 dan PAS, sebelum kembali ke tangan BN pada tahun 2004 dan dipertahankan pada pilihan raya umum tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2004, calon BN (Allahyarham) Datuk Razali Ismail yang baru pertama kali bertanding menewaskan penyandang ketika itu Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS) dengan majoriti 1,933 undi.

Pada 8 Mac lalu, Razali mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 628 undi selepas memperolehi 32,562 undi menewaskan calon PAS Mohamed Sabu (31,934) dan calon Bebas Maimun Yusof (689 undi).

Selepas lima hari kempen berlangsung pemerhati politik masih berpegang pada pendapat bahawa kerusi Parlimen Kuala Terengganu hanya akan dimenangi dengan majoriti tipis.

“Memang pemilihan ini sengit dan kita tak boleh nak duga sebab apabila berdepan dengan pengundi atas pagar, macam-macam boleh berlaku bergantung kepada kebijaksanaan calon yang bertanding dan jentera kempen,” kata Ahmad Atory yang tidak menolak BN mempunyai sedikit kelebihan.

“Saya katakan kelebihan kerana orang mungkin menimbangkan jasa (penyandang) Allahyarham Datuk Razali, dan mungkin juga pengundi atas pagar ini tertarik dan bersimpati dengan kesungguhan Najib berkempen,” katanya.

Jika dilihat sambutan yang diberi masyarakat setempat pada majlis-majlis yang dihadiri Najib, jelas orang ramai ‘berminat’ untuk melihat lebih dekat Timbalan Perdana Menteri itu, namun persoalan sama ada ia dapat diterjemahkan dalam bentuk undi hanya akan terjawab pada Sabtu ini.

— BERNAMA

Read Full Post »

Usah cemar masjid

KUALA TERENGGANU: Semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu (P036) diminta tidak mencemarkan kesucian masjid atau kawasan sekitarnya untuk berkempen sepanjang musim pilihan raya ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Senara Muda Mazlan Hashim, berkata larangan itu selaras dengan titah Sultan Terengganu supaya masjid dan kawasan sekitarnya tidak digunakan oleh mana-mana pihak untuk tujuan politik kepartian.

“Saya harap semua pihak menjunjung titah Tuanku sebagaimana kita sedia maklum, masjid adalah tempat ibadat dan institusi yang mulia.

“Maidam diberi kuasa sebagai badan bertanggungjawab dalam menjaga dan mengurus masjid dalam negeri ini bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Negeri,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, Maidam kini mengesan ada pihak menyalahgunakan masjid untuk menjalankan aktiviti politik kepartian dan ia dikhuatiri mendatangkan rasa kurang senang sesetengah pihak serta mencemarkan kesucian rumah ibadat itu.

“Maidam difahamkan, ada ahli politik bertindak sebagai imam dan khatib tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

“Selaku Yang Dipertua Maidam, saya tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan masjid dan kawasan sekitarnya untuk sebarang aktiviti berunsur politik kepartian atau bertindak sebagai imam dan khatib tanpa mendapat kebenaran,” katanya.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) — Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu menafikan laporan yang mendakwa hotel di Kuala Terengganu mengenakan kadar sewa yang tidak munasabah sehingga mencecah RM1,000 semalam ketika musim pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Presidennya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata pihaknya telah melakukan siasatan terutama terhadap anggota persatuan itu dan mendapati tidak ada hotel di Terengganu yang mengenakan kadar setinggi itu.

“Lainlah kalau ia merupakan Royal Suite atau sebagainya. Untuk bilik biasa saya boleh katakan hotel lima bintang di sini yang paling tinggi antara RM320 dan RM180 semalaman,” katanya dalam sidang media di sini Ahad.

Di Terengganu, terdapat 25 buah hotel tiga dan lima bintang yang bernaung di bawah MAH dengan 1,549 bilik dan purata kadar sewa RM189.46 semalam.

Laporan baru-baru ini menyebut bahawa Kementerian Pelancongan akan mengadakan siasatan berhubung dakwaan terdapat hotel di Kuala Terengganu yang mengenakan kadar sewa terlalu tinggi, ada di antaranya sehingga RM1,000 semalam, semasa kempen pilihan raya kecil itu.

Raja Kamarul Bahrin berkata laporan sedemikian boleh menimbulkan publisiti yang kurang menyenangkan di mata pelancong yang akan berfikir semula untuk berkunjung ke Terengganu.

“Saya minta pihak berkenaan, jika ada apa-apa kemusykilan berhubung kadar sewa bilik hotel, sila hubungi kami supaya maklumat rasmi diperoleh,” katanya.

Beliau berkata isu sedemikian pernah berlaku beberapa tahun lepas apabila ada pihak tertentu membuat kenyataan bahawa semua bilik hotel di Terengganu penuh kerana Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun walhal perkara itu tidak benar sama sekali.

— BERNAMA

Read Full Post »