KUALA TERENGGANU, 9 Jan (Bernama) — Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberi jaminan legasi pendidikan bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail untuk penduduk di Kuala Terengganu akan diteruskan melalui hubungan langsung dengan dirinya.
Hishammuddin berkata beliau sendiri akan menjalankan peranan untuk memastikan Kuala Terengganu dibangunkan sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan.
“Secara peribadi, saya mengambil pendekatan yang lebih bersungguh-sungguh kerana kawasan ini bekas kawasan Timbalan Menteri saya yang merupakan seorang yang cukup komited, ikhlas dan jujur untuk pastikan dan impikan untuk bangunkan Kuala Terengganu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
“Jangan bimbang pengorbanan arwah tidak akan kita lupakan… orang sini akan ada hubungan langsung dengan Menteri Pelajaran sendiri selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengundi guru di SK Pulau Rusa di sini, Jumaat.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Hishammuddin berkata beliau jarang turun padang ke Kuala Terengganu sebelum ini kerana mempunyai seorang timbalan yang berkarisma, namun kini dengan ketiadaan Allahyarham Razali, beliau akan memastikan kekosongan itu diisi dengan dibantu oleh rakan-rakan yang lain.
Beliau turut memberi jaminan bukan sahaja pendidikan anak-anak di kawasan Kuala Terengganu terbela tetapi juga soal kebajikan mereka menerusi calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh jika diberikan peluang untuk menjadi Anggota Parlimen nanti.
“Saya tidak akan biarkan kawasan Kuala Terengganu. Memang pemergian Datuk Razali satu kehilangan yang besar, tetapi saya hadir hari ini dan serta beberapa hari yang lalu untuk terus sokong usaha calon kita. Sekiranya diberikan tempat nanti, apa yang dijanji akan terus ditunaikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Kuala Terengganu termasuk warga pendidik supaya membuat pertimbangan yang wajar semasa hari pengundian nanti kerana ia akan turut melibatkan soal pendidikan anak-anak.
— BERNAMA