KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Bernama) — Mesra rakyat, mudah didekati dan senang berjumpa — demikian ciri-ciri pemimpin yang dituntut penduduk di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Rata-rata rakyat Kuala Terengganu yang ditemui mahukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan bukan hanya menampakkan muka sekali sekala.
Bagi Goh Ng Kian, 70, apa yang penting pada beliau ialah seorang pemimpin itu yang akan dipilih pada 17 Jan ini mestilah melayan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan taraf tanpa pilih kasih.
“Pemimpin yang baik mestilah selalu turun padang dan dapat luangkan masa dengar masalah rakyat… itu sudah mencukupi. Kami tidak mahu pemimpin yang jumpa kami ketika pilihan raya sahaja dan apabila bertemu selepas itu buat tidak endah kepada kami,” katanya.
Goh, yang berasal dari Kampung Tanjung di sini, berkata Allahyarham Datuk Razali Ismail adalah antara contoh pemimpin berjiwa rakyat dan mudah didekati oleh rakyat tanpa mengira golongan.
“Yang dulu (Allahyarham Razali) mesra rakyat… kalau boleh nak pemimpin macam dahulu, malah jika boleh lebih baik daripada itu,” katanya.
Bagi Lee Teck Kuang, 58 dari Wakaf Mempelam, pembangunan adalah soal kedua kerana yang penting bagi rakyat adalah karektor pemimpin yang dipilih itu.
“Kalau pemimpin itu susah nak jumpa dengan rakyat, macam mana beliau nak tahu masalah dan kehendak pembangunan setempat,” katanya.
Katanya rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya dikenali melalui media masa sedangkan hakikatnya susah untuk mendekati rakyat dan rakyat sendiri tidak mengenalinya secara dekat.
Aini Long, 50 dari Lorong Haji Da, Batu Burok berkata beliau akan memilih pemimpin yang mempunyai sifat merendah diri dan boleh bergaul dengan rakyat.
“Susahlah kalau pemimpin itu tidak mampu bermesra dengan rakyat. Macam mana hendak mengadu masalah,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply