HANOI, 8 Jan (Bernama) — Kementerian Pelancongan mengarahkan Tourism Malaysia Terengganu supaya menyiasat dakwaan bahawa terdapat sesetengah hotel di Kuala Terengganu yang mengenakan kadar sewaan bilik sehingga mencecah RM1,000 semalam, ekoran kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jika dakwaan itu benar, ia boleh menjejaskan industri pelancongan di Terengganu.
“Saya mendapat maklumat bahawa ada beberapa syarikat yang menempah semua bilik hotel dan kemudian menjualnya semula pada kadar RM1,000 semalam kepada pengunjung lain,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan Asean ke-29 yang akan berlangsung selama dua hari di sini.
Azalina berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha yang didapati melakukan perbuatan sedemikian.
Kabinet juga, katanya, telah dimaklumkan mengenai perkara itu semalam.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail dan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Barisan Nasional (BN) diwakili Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala calon PAS ialah Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menggesa penduduk Kuala Terengganu supaya mengutamakan keamanan dan kestabilan kerana sebarang kekecohan akan mencemarkan imej kawasan itu yang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan negara.
Beliau berkata penduduk Kuala Terengganu perlu menolak kehadiran orang luar yang melakukan keganasan dan menimbulkan suasana kucar-kacir serta huru-hara.
“Orang ini datang dan pergi tetapi masyarakat Kuala Terengganu akan terus berada di sana,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan para pengundi agar mengundi dengan bijak, apatah lagi Wan Ahmad Farid bakal dilantik sebagai timbalan menteri sekiranya menang.
“Jika Wan Ahmad Farid tidak dipilih, Kuala Terengganu akan hilang seorang timbalan menteri sedangkan jika calon PAS kalah, dia masih ada jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam,” kata beliau.
Sambil meletakkan keyakinan bahawa calon BN itu mampu memenangi pilihan raya kecil berkenaan, Azalina berkata sejak BN mengambil alih kerajaan negeri, sektor pelancongan negeri yang sebelum ini diabaikan oleh kerajaan PAS telah berjaya ditingkatkan.
“Oleh itu, saya mohon pengundi-pengundi Kuala Terengganu supaya lebih waras dalam memilih. Jangan pilih ikut hati tetapi pilih ikut akal kerana jika pilih BN, kita akan teruskan dasar-dasar yang ada sebelum ini,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply