Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 8th, 2009

HANOI, 8 Jan (Bernama) — Kementerian Pelancongan mengarahkan Tourism Malaysia Terengganu supaya menyiasat dakwaan bahawa terdapat sesetengah hotel di Kuala Terengganu yang mengenakan kadar sewaan bilik sehingga mencecah RM1,000 semalam, ekoran kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jika dakwaan itu benar, ia boleh menjejaskan industri pelancongan di Terengganu.

“Saya mendapat maklumat bahawa ada beberapa syarikat yang menempah semua bilik hotel dan kemudian menjualnya semula pada kadar RM1,000 semalam kepada pengunjung lain,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan Asean ke-29 yang akan berlangsung selama dua hari di sini.

Azalina berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha yang didapati melakukan perbuatan sedemikian.

Kabinet juga, katanya, telah dimaklumkan mengenai perkara itu semalam.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail dan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Barisan Nasional (BN) diwakili Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala calon PAS ialah Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Azalina yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menggesa penduduk Kuala Terengganu supaya mengutamakan keamanan dan kestabilan kerana sebarang kekecohan akan mencemarkan imej kawasan itu yang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan negara.

Beliau berkata penduduk Kuala Terengganu perlu menolak kehadiran orang luar yang melakukan keganasan dan menimbulkan suasana kucar-kacir serta huru-hara.

“Orang ini datang dan pergi tetapi masyarakat Kuala Terengganu akan terus berada di sana,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para pengundi agar mengundi dengan bijak, apatah lagi Wan Ahmad Farid bakal dilantik sebagai timbalan menteri sekiranya menang.

“Jika Wan Ahmad Farid tidak dipilih, Kuala Terengganu akan hilang seorang timbalan menteri sedangkan jika calon PAS kalah, dia masih ada jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam,” kata beliau.

Sambil meletakkan keyakinan bahawa calon BN itu mampu memenangi pilihan raya kecil berkenaan, Azalina berkata sejak BN mengambil alih kerajaan negeri, sektor pelancongan negeri yang sebelum ini diabaikan oleh kerajaan PAS telah berjaya ditingkatkan.

“Oleh itu, saya mohon pengundi-pengundi Kuala Terengganu supaya lebih waras dalam memilih. Jangan pilih ikut hati tetapi pilih ikut akal kerana jika pilih BN, kita akan teruskan dasar-dasar yang ada sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Bernama) — Amran Rashid sekeluarga lega kerana tidak lagi perlu berbelanja besar untuk perjalanan ke ibu negara bagi menghantar dan menunggu kepulangan anggota keluarga yang menunaikan haji tahun ini.

Sebelum ini, beliau yang tinggal di Seberang Takir dekat sini, terpaksa berbelanja antara RM1,000 dan RM2,000 untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), namun mulai musim haji lepas, beliau tidak perlu berbuat demikian.

Ini kerana, Malaysia Airlines (MAS) telah mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Jeddah, dan ia bukan sahaja melegakan rakyat Terengganu malah penduduk Pantai Timur.

“Kemudahan yang disediakan kerajaan ini, memang melegakan. Ia bukan sahaja menjimatkan wang tetapi tenaga kami yang terpaksa berulang-alik ke KLIA,” kata Amran, 43, yang berniaga ikan di Pulau Kambing di sini.

Pada musim haji lepas, sebanyak 18 penerbangan terus pergi dan balik dari LTSM ke Jeddah untuk membawa lebih 5,000 jemaah haji dari Pantai Timur.

Penolong Pengurus Besar (Haji dan Penempahan) MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Hussin berkata dengan adanya penerbangan terus Kuala Terengganu-Jeddah, ia membuktikan keprihatinan MAS kerana ia mampu menjimatkan perbelanjaan jemaah haji dari Terengganu.

“Apabila kita mengadakan penerbangan terus ke Jeddah, keluarga jemaah boleh jimat wang kerana untuk ke ibu negara mereka pastinya terpaksa menghabiskan wang,” kata beliau.

Penerbangan sulung jemaah haji itu dari LTSM ialah pada 13 Nov lepas dan esok adalah penerbangan pulang terakhir dari Jeddah ke lapangan tersebut.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini, para jemaah haji dibawa terus dari Kuala Terengganu ke Jeddah.

“Pada musim haji tahun ini, bilangan penerbangan itu akan ditingkatkan kepada 20 penerbangan,” kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Penerbangan terus ke tanah suci bermula tahun lepas, setelah kerajaan Terengganu menaiktaraf LTSM itu membabitkan kos RM400 juta, bagi membolehkan pesawat Boeing 747 mendarat di situ sejak September lepas.

Projek pembinaan LTSM itu, telah dimulakan sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS pada 2004.

Bagi memastikan keselesaan jemaah haji, kerajaan juga bercadang membina Kompleks Tabung Haji di Gong Badak di sini bagi kemudahan jemaah haji di Pantai Timur sebelum berlepas ke Jeddah.

Kompleks itu akan dibina tahun ini, di kawasan seluas kira-kira 2.8 hektar berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Premis itu akan menyediakan 120 bilik dan akan dijadikan hotel penginapan pelancong di luar musim haji.

Dengan kemudahan tersebut, LTSM telah bersedia sepenuhnya untuk menjadi hub penerbangan jemaah haji dari Pantai Timur ke Jeddah pada masa akan datang.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Hrkh) – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu adalah penting bagi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju pilihan raya umum (PRU) yang ke-13.

Malah, sekiranya BN kalah yang paling terkesan adalah ‘Perdana Menteri akan datang’ Dato’ Seri Najib Razak yang mengetuai kempen BN.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri yang juga Timbalan Pengarah Jentera Induk PAS Dato’ Mustafa Ali dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di Gong Kapas dekat sini semalam.

Menurutnya, kebangkitan rakyat sedang berlaku di kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India ekoran daripada kelemahan kerajaan BN dan parti-parti komponennya yang sedang mengalami perpecahan dalaman.

Tambahnya, kemenangan Pakatan Rakyat akan memberi kekuatan baru kepada rakyat seluruhnya.

“Kemenangan Pakatan Rakyat akan mengubah senario politik negara secara total,” katanya yang dipetik daripada Buletin Online.

Oleh yang demikian, beliau menyeru seluruh tenaga dan kekuatan Pakatan Rakyat mesti digembelengkan dengan sepenuhnya dan digunakan bagi memastikan calon PAS, Mohd Abd Wahid Endut yang mewakili Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Image

Justeru, semua petugas-petugas pilihan raya Pakatan Rakyat akan menggunakan kaedah ataupun pendekatan yang mesra pengundi bagi memastikan setiap undi akan memihak kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, kekuatan Pakatan Rakyat masa kini sukar ditandingi oleh BN kerana perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli pakatan rakyat begitu kukuh.

“Berbanding dengan komponen Barisan Nasional misalnya MCA di mana umumnya mengetahui di antara pemimpin nombor satu dan nombor dua MCA tidak bersefahaman.

“Bila Presiden MCA Ong Tee Kiat datang ke Terengganu untuk berkempen, Timbalan Presidennya, Chua Soi Lek tidak akan hadir, sebaliknya apabila Chua Soi Lek yang datang untuk berkempen di Kuala Terengganu, Ong Tee Kiat pula yang tidak datang,” tegasnya memberitahu para hadirin pertemuannya secara kebetulan dengan Chua Soi Lek baru-baru.

Beliau menyeru semua petugas pilihan raya Pakatan Rakyat bekerja bersungguh-sungguh sehingga calon PAS mencapai kemenangan dan diisytiharkan sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan. – azm/mks. _

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 8 Jan (Bernama) — Kebanjiran pemimpin, penyokong dan petugas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu memberikan durian runtuh kepada peniaga di Losong di sini, kawasan yang terkenal dengan keropok lekor losong.

Sekiranya melalui kawasan ini pada masa ini, banyak kenderaan terutama dengan nombor pendaftaran luar Terengganu dilihat berhenti di gerai-gerai yang menjual keropok lekor itu.

Seorang penjual keropok, Mohamad Abdul Rahman, 57 yang telah menjual keropok selama 15 tahun di Losong sememangnya sudah tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi gerai beliau sejak minggu lepas.

Sambutan luar biasa bagi makanan popular Terengganu itu adalah sesuatu yang jarang berlaku terutamanya pada awal tahun, katanya kepada Bernama di sini.

Katanya beliau telah menjangkakan permintaan tinggi bagi keropok ini pada musim pilihan raya kecil ini dan melakukan persiapan sejak bulan lepas dengan menambah bilangan pekerja serta memastikan bekalan bahan mentah mencukupi.

“Kami dah tahu orang mesti ramai datang terutamanya pada hari penamaan calon dan beberapa hari sebelum mengundi nanti, sebab tak sah kalau sesiapa yang datang Terengganu tak beli keropok losong,” kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Su.

“Jika selalunya kami proses kira-kira 100kg sehari tetapi pada hari penamaan calon saja kami perlu tambah 100kg lagi,” katanya.

Mohamad juga melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang telah banyak membantu dalam meningkatkan penjualan keropok lekornya.

“Banyak kursus yang dianjurkan kerajaan negeri untuk peniaga-peniaga di sini. Selain itu banyak juga promosi yang dibuat untuk memperkenalkan keropok lekor losong ini ke seluruh negara,” katanya.

Seorang pembantu gerai, Nor Suhana Abdullah, 18, pula mengambil kesempatan bekerja sambilan di salah satu gerai keropok lekor di situ sepanjang proses pilihan raya ini.

“Jiran saya yang mengusahakan gerai ini meminta saya menolongnya di gerai kerana tak cukup pekerja sepanjang bulan ini,” katanya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang pelanggan gerai itu, Rohani Mat Junuh, 50, yang berasal dari Kelantan berkata beliau tidak akan melepaskan peluang membeli keropok lekor di situ setiap kali berkunjung ke Terengganu.

“Keropok lekor di sini memang terkenal kerana sedap dan tahan lama. Kebetulan saya ikut rombongan penyokong Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kali ini, jadi kami pakat singgah beli keropok di sini,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Mohammad Alwi Ariffin, 29, berkata sambutan luar biasa pembeli terutamanya dari luar Terengganu menyebabkan jalan di kawasan itu sesak dengan kenderaan yang singgah membeli.

“Memang biasa bas-bas yang bawa pelancong terutamanya akan singgah di sini sehinggakan jalan sesak,” katanya yang bekerja sebagai mekanik di sini.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Bernama) — Biarpun suasana di sini amat sibuk menjelang pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini, namun seorang lelaki Cina tempatan berusia awal 60an masih tetap dengan rutin hariannya.

Pada sebelah pagi, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai “Cikgu” itu, akan menjalankan tugasnya sebagai guru manakala malamnya diluangkan untuk bersembang dengan rakan-rakan di kedai kopi kegemarannya di Jalan Sultan Sulaiman.

Dalam loghat tempatan yang pekat, Cikgu memberitahu Bernama: “Orang dok sibuk dengan pilihang raya, dok bercerita calong mana molek, parti mana bagus. Ada kata hok (yang) ni bagus, orang laing pulok kata hok tu bagus.

“Saya senang saja, tengok calong tu…boleh ganti tempat arwoh (arwah) Datuk Razali (Ismail) ke dok (tak)?”

Lelaki yang mengajar Matematik dan fasih berbahasa Inggeris itu memang gemar menggunakan loghat Terengganu apabila bercakap dengan pelawat dari luar kerana beliau bangga berbuat demikian.

“Saya memang orang sini, tok nenek saya pung beranok sini, memang orang Terengganu, nok ubah buat apa? Melayu, Cina sini sama saja,” katanya.

Meneruskan ceritanya mengenai Razali, ‘Cikgu’ berkata Allahyarham seorang yang prihatin dan banyak berjasa kepada guru semasa menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu dan sikap itu berterusan semasa beliau mewakili masyarakat Kuala Terengganu di Dewan Rakyat.

“Arwoh Datuk Razali memang baik, kerja kuat. Susoh nok cari ganti,” katanya.

Razali yang diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) Mac lepas meninggal dunia pada 28 Nov lalu.

Beliau menang dengan majoriti 628 undi selepas memperoleh 32,562 undi menewaskan calon PAS Mohamed Sabu (31,934) dan calon Bebas Maimun Yusof (689 undi).

Pilihan raya kecil itu melibatkan pertandingan antara calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Suasana politik yang berubah sejak PRU ke-12 menyukarkan ramalan kerusi itu milik siapa kali ini. Namun, banyak pihak berpendapat undi masyarakat Cina bakal menjadi penentu.

Daripada 80,229 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada 17 Jan ini, 10.89 peratus atau 8,735 adalah pengundi Cina, manakala pengundi India pula hanya 518 orang atau 0.65 peratus.

Hujah “penganalisis warung kopi” adalah mudah iaitu sebahagian pengundi Melayu adalah daripada PAS kerana hanya 38 peratus atau 26,747 orang daripada keseluruhan 70,834, pengundi berdaftar di situ adalah anggota Umno.

Justeru, untuk menang, BN memerlukan undi masyarakat Cina dan juga pengundi atas pagar.

Hujah itu ada kebenarannya memandangkan pada pilihan raya umum lepas, daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Kuala Terengganu, hanya kerusi Bandar sahaja yang dimenangi BN iaitu kawasan penduduk Cina paling ramai manakala kerusi Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok menjadi milik PAS.

Orang Cina di Pantai Timur adalah unik kerana mereka sudah sebati dengan masyarakat Melayu dan percakapan juga adalah dalam loghat tempatan, tidak seperti di negeri-negeri Pantai Barat.

Cikgu yang bangga berkomunikasi dalam loghat Terengganu adalah buktinya.

Malah, pelawat yang pertama kali datang ke Terengganu tidak perlu hairan melihat tulisan Jawi pada papan tanda premis milik orang Cina.

Pendek kata, baik Melayu mahupun Cina, di Kuala Terengganu perbezaan tidak pernah memisahkan mereka kerana masing-masing telah lama memahami dan menghormati budaya, adab dan agama satu sama lain.

“Mereka tidak suka jika ada pemimpin yang datang ke sini dan cuba menyerlahkan apa-apa perbezaan kerana itu bukan cara kehidupan masyarakat di Terengganu,” kata seorang pemerhati politik.

Seorang pemilik premis yang hanya mahu dikenali Ah Keong pula berkata dia akan memilih pemimpin yang mampu mewakili semua penduduk Kuala Terengganu.

“Kita tak mboh (mahu) orang luar mari sini tuduh kita macang-macang. Tok nenek kita orang sini. Buat apa nok gaduh. Kita nok duduk dengan amang, biar senang nok cari makang, nok besorkang anok-anok.

“Kita doh jadi bandor raya. Kita hok duduk bandor ni ada belaka doh. Jadi dok payoh nok janji hok bukang-bukang. Dok (tak) kira sapa, paling penting bila kita ada masaloh, senang nok cari, sebab wakil rakyat layang semua,” kata Ah Keong.

Sekalipun Cikgu dan Ah Keong bukan wakil penduduk, kenyataan mereka adalah suara hati pengundi di sini.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 7 Jan (Bernama) — Mesra rakyat, mudah didekati dan senang berjumpa — demikian ciri-ciri pemimpin yang dituntut penduduk di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Rata-rata rakyat Kuala Terengganu yang ditemui mahukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan bukan hanya menampakkan muka sekali sekala.

Bagi Goh Ng Kian, 70, apa yang penting pada beliau ialah seorang pemimpin itu yang akan dipilih pada 17 Jan ini mestilah melayan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan taraf tanpa pilih kasih.

“Pemimpin yang baik mestilah selalu turun padang dan dapat luangkan masa dengar masalah rakyat… itu sudah mencukupi. Kami tidak mahu pemimpin yang jumpa kami ketika pilihan raya sahaja dan apabila bertemu selepas itu buat tidak endah kepada kami,” katanya.

Goh, yang berasal dari Kampung Tanjung di sini, berkata Allahyarham Datuk Razali Ismail adalah antara contoh pemimpin berjiwa rakyat dan mudah didekati oleh rakyat tanpa mengira golongan.

“Yang dulu (Allahyarham Razali) mesra rakyat… kalau boleh nak pemimpin macam dahulu, malah jika boleh lebih baik daripada itu,” katanya.

Bagi Lee Teck Kuang, 58 dari Wakaf Mempelam, pembangunan adalah soal kedua kerana yang penting bagi rakyat adalah karektor pemimpin yang dipilih itu.

“Kalau pemimpin itu susah nak jumpa dengan rakyat, macam mana beliau nak tahu masalah dan kehendak pembangunan setempat,” katanya.

Katanya rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya dikenali melalui media masa sedangkan hakikatnya susah untuk mendekati rakyat dan rakyat sendiri tidak mengenalinya secara dekat.

Aini Long, 50 dari Lorong Haji Da, Batu Burok berkata beliau akan memilih pemimpin yang mempunyai sifat merendah diri dan boleh bergaul dengan rakyat.

“Susahlah kalau pemimpin itu tidak mampu bermesra dengan rakyat. Macam mana hendak mengadu masalah,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »