<!–
By: Ramjit
–>
KUALA TERENGGANU, 5 Jan (Bernama) — Kehadiran lebih 6,000 anggota polis di sekitar bandaraya ini bukan bermakna mungkin wujud keadaan tidak selamat semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Isnin.
Beliau berkata kehadiran ramai anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sepanjang proses pilihan raya kecil itu hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita tak nak ambil sebarang risiko, kita nak orang berasa selamat nak pergi sana sini dan tidak berasa terancam. Jangan khuatir mengenai pihak polis, anggap sahaja dia (polis) tidak ada walaupun dia ada.
“Kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku, orang akan salahkan polis dan cakap kita tak buat persediaan awal, jadi persediaan awal ini merujuk bahawa kita memahami proses demokrasi dan bukan satu tanda bahawa negeri ini tidak selamat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Kuala Terengganu di sini.
Syed Hamid turut menyampaikan pakaian seragam kepada lebih 700 anggota Rela pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Rela Datuk Zaidon Asmuni dan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin.
Syed Hamid berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu kelancaran proses pilihan raya kecil itu.
“Saya menyeru agar semua pihak bekerjasama dengan polis sepanjang proses pilihan raya ini dan jangan lakukan tindakan yang akan memalukan negara kita dan yang di luar adab dan sopan santun kita,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply