Feeds:
Posts
Comments

Archive for January 6th, 2009

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) — Kehadiran ribuan polis di sekitar bandar raya ini mulanya menimbulkan kegusaran orang ramai tetapi selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen di sini berjalan lancar hari ini, ramai menarik nafas lega.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditemui pemberita di pusat penamaan calon berkata beliau berpuashati dengan kerjasama yang diberikan polis.

“Saya mengharapkan polis menjaga keselamatan dengan sebaik-baiknya dan insyaAllah kita akan memberi kerjasama yang baik dalam perkara yang mengikuti amalan demokrasi,” katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali berkata polis memberikan kerjasama yang baik terutama dalam urusan lalu lintas serta kawalan penyokong bagi setiap calon yang bertanding di pusat penamaan calon.

“Setakat hari ini pihak keselamatan (polis) telah memberikan kerjasama yang baik dan kita berharap kerjasama ini akan terus kekal sehingga hari mengundi.

“Kita juga berharap agar polis dapat jalankan tanggungjawab secara profesional dan berharap tak akan berlaku sebarang kejadian yang boleh menjejaskan pengundi di Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, yang mewakili DAP dan hanya dapat tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.45 pagi, berkata polis hendaklah memberikan lebih tumpuan terhadap kawalan lalu lintas.

“Pagi ini saya tidak sempat untuk ikut bersama mengiringi calon kerana tersangkut dalam kesesakan.

“Saya harap polis dapat memberi tumpuan lebih tentang lalu lintas. Tapi setakat hari ini polis telah memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Polis menutup sebahagian Jalan Sultan Mahmud menuju ke pusat penamaan calon di Stadium Negeri di sini sejak tengah malam tadi serta mengasingkan penyokong Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat pada jarak 100 meter.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pastinya memuji pasukan polis kerana berjaya memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Inilah yang hendak kita lihat dalam pilihan raya di tempat-tempat lain (kalau ada) perkara ini dapat dilakukan dengan cara yang sebegini rupa walaupun ramai yang mengambil bahagian,” katanya.

Syed Hamid berkata wujud juga pergaulan mesra antara penyokong PAS dan BN, yang menurutnya mungkin kerana telah memahami proses demokrasi serta menggambarkan kematangan yang memberangsangkan.

Beliau berharap keadaan seperti itu akan melicinkan proses pilihan raya sehinggalah hari pengundian pada 17 Jan depan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis akan memanggil semua calon yang bertanding bagi menjelaskan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen.

Katanya polis setakat ini masih belum menerima sebarang permohonan permit mengadakan ceramah.

Beliau berkata lokasi kempen merupakan satu kriteria penting yang akan dipertimbangkan sebelum permit dikeluarkan agar ia tidak mengangggu orang awam.

“Yang penting di sini ia tidak mengganggu kehidupan seharian masyarakat di sini contohnya seperti kawasan pelancong. Paling utama keselesaan orang awam itu terus terjamin, kehidupan seharian orang awam selepas ini berjalan seperti biasa dan yang penting semua pihak rasa mereka selamat,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan pihak lain yang bertugas dalam pilihan raya kecil kali ini.

Mohd Shukri meminta penyokong parti mengawal perasaan dan mengelak daripada melakukan provokasi kepada parti lain bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Seramai 1,500 anggota dan pegawai polis terlibat dalam proses penamaan calon hari ini.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) – Proses pencalonan pilihanraya kecil P036 selesai dengan tiga calon disahkan bertanding.

Pakatan Rakyat diwakili oleh calon PAS, Abdul Wahid Endut manakala Barisan Nasional diwakili oleh calon Umno, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Seorang lagi merupakan calon bebas iaitu Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

Pengesahan itu telah diumumkan pengurus pilihan raya kecil itu, Mat Razali Kasim kira-kira pukul 11.30 pagi.

PAS mengemukakan dua bantahan terhadap calon BN tetapi ditolak oleh Pegawai SPR.

BERITA SEBELUM INI

Kertas pencalonan diterima, 3 calon kemukakan borang

Intan Abdullah & Khairul Azlam

ImageKUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) – Proses penyerahan borang pencalonan ditutup kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.

Tiga calon sudah menyerahkan borang masing-masing termasuk satu calon bebas iaitu Azharuddin Mamat berusia 46 tahun.

Sekarang tempoh bantahan dibuka kepada semua calon yang bertanding.

BERITA SEBELUM INI

FRU arahkan penyokong PAS jauhi pintu Stadium Negeri

Intan Abdullah & Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) – Pasukan FRU yang tiba kira-kira pukul 10.05 pagi mengarahkan penyokong Pakatan Rakyat meninggalkan kawasan pintu masuk stadium negeri bagi mengelakkan berlakunya kekecohan sekali lagi.

Biarpun yang bertindak liar adalah penyokong BN tetapi yang diarahkan tinggalkan kawasan pintu masuk stadium adalah penyokong Pakatan Rakyat.

Jumlah penyokong Pakatan Rakyat setakat ini dianggarkan melebihi 40,000 orang manakala penyokong BN pula kurang dari 10,000 orang.

BERITA SEBELUM INI

Penyokong BN bertindak liar

Intan Abdullah & Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) – Penyokong Barisan Nasional (BN) bertindak liar terhadap penyokong PAS dengan membaling botol air di hadapan pintu masuk Stadium Negeri kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

BERITA SEBELUM INI

Calon Akim tarik diri dan minta pengundi sokong PAS

Intan Abdullah & Khairul Azlam

ImageKUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) – Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abdul Rahman Mohamad mengumumkan menarik diri dari bertanding dalam pilihanraya kecil P.036 Kuala Terengganu pada pukul 9.30 pagi tadi.

Harun mengumumkan penarikan diri beliau sepuluh minit selepas memasuki Stadium Negeri.

Beliau turut menyeru kepada pengundi-pengundi di Kuala Terengganu agar memberikan sokongan padu kepada calon PAS, Abdul Wahid Endut.

Harun menjelas beliau menarik diri kerana dasar perjuangan Akim dan PAS adalah sama.

BERITA SEBELUM INI

Penamaan calon bermula

Intan Abdullah dan Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Hrkh) – Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu bermula hari ini.

Di perkarangan stadium negeri penyokong-penyokong Pakatan Rakyat sebanyak 30,000 orang berkumpul selepas mengiringi perarakan yang bermula dari Surau Taman Permin Jaya, Jalan Pusara pukul 8 pagi tadi.

ImageSebelum itu kira-kira pukul 7.30 pagi, solat hajat dilakukan di surau tersebut.

Kira-kira pukul 9.20 pagi, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endot memasuki pusat penamaan calon diiringan Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin juga turut berada di pusat penamaan calon.

Setakat ini tiga calon kelihatan memasuki Stadium iaitu calon PAS, calon BN Dato’ Wan Farid dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad./wann _

Read Full Post »

KUALA KRAI, 6 Jan (Bernama) — Naib Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun Mohamad, yang menarik diri pada saat akhir sebelum mengemukakan kertas pencalonan hari ini bagi bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu bakal berdepan tindakan disiplin.

Presiden AKIM, Hanafi Hamat, berkata Harun juga telah mengkhianati parti kerana menyatakan sokongan terbuka kepada calon PAS pada pilihan raya kecil itu.

“Harun telah menghampakan harapan AKIM apabila menarik diri tetapi lebih mengecewakan apabila menyokong pula PAS,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di pusat penamaan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu hari ini, Harun, 63, yang juga dikenali sebagai Abdul Rahman, membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu tanpa memberi alasan yang spesifik.

Beliau kemudiannya menyatakan sokongan kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.

“Kita memberi keutamaan kepada calon Pas kerana dia mempunyai ciri-ciri sama seperti yang diperjuangkan Akim iaitu menegakkan Islam,” katanya.

Harun berkata keputusannya itu tidak didesak oleh mana-mana pihak.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Mohd Abdul Wahid dan calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharudin Mamat. Pengundian ialah pada 17 Jan ini.

Hanafi berkata walaupun Harun bukan merupakan calon yang direstui pihaknya kerana ia diumumkan oleh kumpulan lain dalam AKIM, itu tidak bermakna dia boleh bertindak sedemikian.

“Kerana kita tidak mahu perpecahan berlaku dalam parti, kita membuat keputusan supaya Harun diberi peluang bertanding tetapi tindakannya (menyokong calon PAS) tidak diterima oleh parti,” katanya.

Hanafi berkata majlis tertinggi AKIM akan mengadakan mesyuarat tergempar tidak lama lagi bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap Harun.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) — Barisan Nasional ditentang oleh PAS dan seorang calon Bebas dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil 17 Jan ini.

Pada penamaan calon di Stadium Negeri di sini hari ini, BN meletakkan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan PAS menurunkan Anggota Dewan Negeri kawasan Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, manakala calon Bebas ialah Azharudin Mamat @ Adam.

Pengurus pilihan raya kecil itu, Datuk Mat Razali Kassim, mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding selepas proses bantahan selesai pada pukul 11 pagi, yang disambut sorakan penyokong masing-masing.

“Selepas tamat sesi penyerahan borang tamat, empat bantahan telah dikemukakan tetapi kesemuanya,” kata Mat Razali.

Wan Ahmad Farid, 46, Timbalan Menteri Dalam Negeri sehingga beliau meletak jawatan beberapa hari lepas untuk bertanding kerusi itu, merupakan calon pertama yang tiba sebaik sahaja pusat penamaan calon ia dibuka pada 9 pagi tadi.

Dalam perarakan ke situ, beliau diiringi 15,000 penyokong BN diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S.Subramaniam. Turut serta ialah Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bercakap kepada pemberita selepas proses penamaan calon, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata BN tidak mengambil mudah mana-mana calon yang bertanding pada pilihan raya kecil itu termasuk calon Bebas.

Dalam proses penamaan calon tersebut, Wan Ahmad Farid telah dicadang oleh Ketua Pemuda Umno Terengganu Mohd Sabri Alwi dan disokong oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng.

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid, 51, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990, tiba di pusat penamaan calon pada 9.10 pagi, diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Nasional.

Mohd Abdul Wahid dicadangkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md Azmi Lok Yusof.

Azharudin, 46, seorang ahli perniagaan, telah dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah.

Naib Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Harun @ Abdul Rahman Mohamad, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.20 pagi, tetapi tidak menyerahkan borang penamaan calon.

Para penyokong BN dan PAS mulai memenuhi lokasi berhampiran pusat penamaan calon seawal 6 pagi tadi.

Beberapa jalan berhampiran Stadium Negeri ditutup dan dikawal polis manakala helikopter polis berlegar-legar di kawasan berkenaan bagi memantau keadaan.

Tiada insiden kekecohan dilaporkan berlaku ketika proses penamaan calon itu diadakan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum lepas, Razali menang dengan majoriti 628 undi.

Kawasan itu mempunyai 80,229 orang pengundi.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Hrkh) – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon Barisan Nasional di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai “benar-benar pilihan yang sangat buruk”.

“Pemilihan calon ini oleh Barisan Nasional benar-benar sangat buruk. Semua orang melihat beliau hanya sebagai proksi. Seseorang yang akan dipergunakan nanti jika (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menjadi Perdana Menteri. Inilah orang-orang yang akan mengelilinginya,” kata beliau menurut rakaman video Malaysiakini.

“Calon tersebut adalah pilihan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kerana beliau berkerja dengan Perdana Menteri,” Malaysian Insider pula memetik Dr Mahathir berkata.

Wan Ahmad Farid pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Abdullah ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri pada tahun 2003.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, dan dilantik semula sebagai senator bulan lalu.

Wan Ahmad Farid meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri Jumaat lalu dan jawatan senator hari ini, untuk bertanding dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Kerusi parlimen Kuala Terengganu kosong ekoran kematian penyandangnya, yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

PAS mencalonkan Mohd Abdul Wahid Endut, pilihan yang disifatkan menyejuk dan melegakan hati semua pihak._

Read Full Post »

<!–

By: Ramjit

–>

KUALA TERENGGANU, 5 Jan (Bernama) — Kehadiran lebih 6,000 anggota polis di sekitar bandaraya ini bukan bermakna mungkin wujud keadaan tidak selamat semasa pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Isnin.

Beliau berkata kehadiran ramai anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sepanjang proses pilihan raya kecil itu hanyalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tak nak ambil sebarang risiko, kita nak orang berasa selamat nak pergi sana sini dan tidak berasa terancam. Jangan khuatir mengenai pihak polis, anggap sahaja dia (polis) tidak ada walaupun dia ada.

“Kalau ada perkara yang tidak diingini berlaku, orang akan salahkan polis dan cakap kita tak buat persediaan awal, jadi persediaan awal ini merujuk bahawa kita memahami proses demokrasi dan bukan satu tanda bahawa negeri ini tidak selamat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Kuala Terengganu di sini.

Syed Hamid turut menyampaikan pakaian seragam kepada lebih 700 anggota Rela pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Rela Datuk Zaidon Asmuni dan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin.

Syed Hamid berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu kelancaran proses pilihan raya kecil itu.

“Saya menyeru agar semua pihak bekerjasama dengan polis sepanjang proses pilihan raya ini dan jangan lakukan tindakan yang akan memalukan negara kita dan yang di luar adab dan sopan santun kita,” katanya.

— BERNAMA

Read Full Post »