KUALA TERENGGANU, 4 Jan (Bernama) — Beberapa jalan utama berhampiran Stadium Negeri di sini akan ditutup pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selasa ini.
Jalan Sultan Mahmud akan ditutup dari tengah malam sehingga selesai proses penamaan calon, bermula dari lampu isyarat Batu Burok menghala ke bulatan Batu Bersurat dan Jalan Kelab Kerajaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata beberapa jalan alternatif akan disediakan.
“Kenderaan dari arah Kuantan menuju ke pusat bandar boleh melalui Jalan Kamaruddin, Jalan Pusara atau Jalan Sultan Omar dan bagi kenderaan yang datang dari bandar menghala ke Kuantan, boleh menggunakan Jalan Sultan Ismail-Jalan Sultan Omar-Jalan Kamaruddin.
“Bagi kenderaan yang menuju ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pemandu perlu melalui Jalan Persinggahan,” katanya.
Beliau berkata jalan alternatif juga disyorkan bagi kenderaan yang datang dari arah Kuantan untuk menghala ke bandar, iaitu melalui Jalan Budiman-Jalan Panji Alam-Jalan Sultan Omar manakala bagi kenderaan dari arah Kuantan menuju ke HSNZ, boleh menggunakan Jalan Haji Busu dan Jalan Persinggahan (Jalan Pantai).
Bagi pemandu yang datang dari arah bandar menghala ke Kuantan, mereka juga boleh juga menggunakan Jalan Sultan Omar-Jalan Panji Alam-Jalan Budiman, melalui Jalan Pasir Panjang-Jalan Tok Adis atau melalui Jalan Sultan Mohamad-Jalan Kuala Berang.
Mohd Shukri berkata jalan akan turut ditutup pada hari mengundi 17 Jan mulai 7 pagi hingga 5 petang.
— BERNAMA